Dalam mengatasi isu maruah Melayu yang sering dipandang hina
di negara sendiri, Dr Mahathir Mohamad berkata hanya Melayu yang boleh
memulihkan maruah mereka sendiri tanpa mengharapkan orang lain untuk
melakukannya.
Perdana Menteri berkata kerajaan dengan sendirinya walaupun
dipimpin oleh Melayu, tidak boleh memulihkan maruah Melayu sekiranya kaum itu
tidak mahu berusaha untuk mengubah nasib mereka.
Loading...
"Jangan minta orang lain lakukan sesuatu untuk
memulihkan maruah kita. Melayu sendiri kena pulihkan maruah Melayu,” katanya
ketika berucap pada Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati, Shah Alam hari
ini.
Dr Mahathir menjelaskan kerajaan hanya mampu menyediakan
peluang untuk Melayu ambil bahagian dalam pelbagai bidang di negara ini.
Bagaimanapun, usaha untuk memulihkan maruah Melayu sukar
sekiranya bangsa itu sendiri tidak mahu berusaha mengambil dan menggunakan
peluang yang disediakan oleh kerajaan dengan sebaiknya.
"Maruah Melayu bergantung kepada pencapaian kita
sendiri. Kalau kita mampu tadbir negara dengan baik, gunakan peluang yang ada
dengan baik, bekerja dengan baik, mampu keluarkan barang pengguna, tiada siapa
boleh jatuhkan maruah kita," katanya.
loading...
Dr Mahathir berucap di hadapan ribuan hadirin termasuk para
pemimpin parti politik Melayu, ahli akademik, badan bukan kerajaan dan apa yang
disifatkannya kehadiran Melayu yang "sedar" di majlis itu.
Pada majlis itu, Dr Mahathir turut melahirkan rasa sedih
kerana maruah Melayu dipandang hina atas kesalahan mereka sendiri.
Dari segi politik, Dr Mahathir berkata walaupun Melayu
merupakan kumpulan penduduk terbesar di negara ini iaitu 60 peratus daripada
jumlah penduduk (32 juta orang), perpecahan orang Melayu kepada kumpulan kecil
menyebabkan mereka gagal memegang kuasa politik di negara sendiri.
Ini kerana mereka tidak mampu mendapat 50 peratus daripada
sokongan rakyat, katanya.
Susulan perpecahan itu, katanya lagi, orang Melayu terpaksa
bergadai kuasa dan bergantung kepada orang lain untuk mendapat sokongan rakyat.
Dari segi ekonomi, perdana menteri berkata kegagalan orang
Melayu merebut peluang yang ada menyebabkan orang asing mengambil peluang
tersebut dan memajukan diri mereka sehingga menjadi kaya di negara ini.
“Kita bergantung kepada orang lain sehingga kita diperhambakan.
Mereka lebih maju dan capai kemajuan kerana peluang di negara kita tidak diisi
dan kita tidak sanggup lakukan kerja tertentu sebab kerja ini dianggap sebagai
hina, bahaya, berat, kotor dan sebagainya,” katanya. -Bernama
Dr M: Hanya Melayu boleh pulihkan maruah sendiri
Reviewed by Faceless
on
01:08
Rating:

No comments: