Foto oleh The Star
Maju Holdings Sdn Bhd mencadangkan untuk menyerap RM2.7
bilion bagi pampasan tol yang perlu dibayar kerajaan kepada Plus Malaysia Bhd
sekiranya pengambilalihan konsesi lebuh raya terbesar negara itu oleh syarikat
berkenaan berjalan lancar.
“Kerajaan ketika ini perlu membayar kepada Plus kira-kira
RM2.7 bilion bagi pampasan tol, dan sekiranya Maju Holdings mengambil alih
Plus, kami ingin memaklumkan bahawa kami tidak akan membiarkan kerajaan
bertanggungjawab bagi hutang itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya ini akan diterjemahkan kepada penjimatan RM2.7
bilion di pihak kerajaan atas hakikat bahawa Maju Holdings akan menyerap
pampasan RM2.7 bilion itu.
“Nilai enterpris kami untuk membeli Plus termasuk tunggakan
hutang kepada pemegang bon iaitu sebanyak RM34.9 bilion.
"Pertimbangan pembelian ini mencerminkan nilai sebenar
dan adil bagi syarikat ini dan asetnya, dengan mengambil kira hasrat kami untuk
menawarkan diskaun ketara kepada pengguna lebuh raya Malaysia,” katanya.
Maju Holdings juga bercadang untuk mengurangkan kadar tol
sehingga 36 peratus dan tidak akan meminta pampasan kewangan daripada kerajaan
bagi pengurangan itu.
Selain itu, syarikat juga komited untuk melabur kira-kira
RM5.3 bilion yang termasuk memasang lampu di sepanjang lebuh raya bersama-sama
dengan penambahbaikan lain yang diperlukan.
Maju Holdings, pemilik Maju Expressway Sdn Bhd, pengendali
Maju Expressway (MEX), berkata dengan tawaran terbaru itu, syarikat menawarkan
kepada kerajaan dan pemegang saham sedia ada Plus Kadar Pulangan Dalaman jumlah
ekuiti pada anggaran 16 peratus.
“Ini membabitkan pulangan yang melebihi kos ekuiti bagi
majoriti konsesi jalan bertol yang lain, sama ada di peringkat global mahupun
di Asia Tenggara,” katanya.
Syarikat itu juga yakin rekod operasinya yang baik dalam
menguruskan lebuh raya MEX akan membantu mengurangkan kos penyelenggaraan Plus.
“Kami telah berjaya mengendalikan operasi lebuh raya MEX
secara cekap kos pada tahap tinggi berbanding dengan jalan bertol Plus yang
sepatutnya mendapat manfaat daripada pelbagai skala ekonomi.
"Malah, kami mempunyai satu daripada kos terendah bagi
setiap kilometer di negara ini,” katanya.
- Bernama
Maju bida Plus, janji kurang kadar tol 36 peratus
Reviewed by Faceless
on
22:14
Rating:

No comments: