Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, hampir suatu keajaiban
Malaysia tidak bankrap akibat kerosakan yang dilakukan rejim kleptokratik
terdahulu, yang menjadikan tabung negara sebagai milik peribadi.
Perdana Menteri berkata, kerosakan tersebut bukan sahaja
berkaitan kewangan tetapi juga keinstitusian.
Loading...
“Salah satu daripada cabaran terbesar selepas menumbangkan
rejim kleptokratik itu ialah membersihkan kerosakan yang ditinggalkan dan
membina semula negara,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan ISIS Praxis,
‘Malaysia Beyond 2020’, di Kuala Lumpur.
Dr Mahathir berkata, ia akan mengambil banyak usaha, masa
dan kewangan, sambil menambah “apa yang kami temui adalah jauh lebih teruk
daripada apa yang kami percaya”.
“Tidak dinafikan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) satu
monstrositi, kita tidak akan dapat menilai sepenuhnya, kerosakan yang
disebabkannya kepada negara,” katanya.
Melebihi rasuah dan tipu helah kewangan, perdana menteri
berkata, seluruh jentera kerajaan telah disubversif dan dilemahkan.
Katanya, sejumlah besar pendapatan kerajaan kini perlu
digunakan untuk membayar hutang dan jumlah yang tinggal tidak mencukupi untuk
operasi dan pembangunan.
“Ia hampir suatu keajaiban yang negara ini tidak bankrap,”
katanya.
loading...
Katanya, bagi memulih dan membangunkan negara, jentera
kerajaan perlu dipulihkan dan efisien.
“Ini bermakna sifar rasuah, jika boleh. Semua usaha telah
dilakukan untuk mencapainya. Mungkin kami telah mencapai beberapa kejayaan
kerana pertumbuhan telah dikekalkan,” katanya.
Beliau menyatakan beberapa sasaran dalam Wawasan 2020 yang
dibuat pada 1991 oleh kerajaan diketuainya sebelum ini, dalam menjadikan
Malaysia sebuah negara maju pada 2020 tidak akan tercapai tahun hadapan selepas
tergelincir disebabkan pemimpin yang mementingkan diri sendiri.
Sebahagian daripada sasaran itu tidak ditinggalkan dan ia
digabungkan ke dalam pelan tindakan Wawasan Kemakmuran Bersama dan apa yang
tidak dicapai tahun hadapan, diharapkan dapat dicapai pada 2030 dan seterusnya,
katanya.
Katanya ketika negara menetapkan untuk meningkatkan
pendapatan kesemua kumpulan, etnik, penduduk bandar, luar bandar atau negeri,
ia juga perlu meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia dalam pelbagai sektor.
“Faktor yang paling penting ialah untuk menyediakan taraf
hidup yang baik kepada seluruh rakyat Malaysia dan berharap untuk mengembalikan
status kita sebagai Harimau Asia,” katanya.
“Objektifnya ialah untuk menjadikan setiap rakyat Malaysia
merasakan dirinya mempunyai kepentingan dalam negara ini dan untuk mencapainya
kita perlu pastikan pembangunan mampan dan pengagihan kekayaan ekonomi yang
adil melalui pertumbuhan saksama pada semua peringkat pendapatan, kumpulan
etnik, negeri dan kawasan,” katanya.
Dr Mahathir berkata, ia bukan semata-mata satu impian dan
kerajaan telah memasukkan Wawasan Kemakmuran Bersama pada Belanjawan 2020 dan
menjangkakan ianya akan bermula pada 2021.
Sumber manusia Malaysia perlu dibangunkan supaya mereka
tangkas menyesuaikan diri dalam pembangunan teknologi yang pesat, kerana
teknologi pintar membolehkan negara membangun melonjak lebih daripada negara
yang menggunakan era konvensional, katanya.
Katanya perlu diwujudkan satu masyarakat Malaysia baharu
yang secara psikologinya bebas daripada kongkongan tradisi, selamat dan maju
dan objektifnya adalah sebuah masyarakat demokratik yang matang.
“Sebuah masyarakat yang bermoral dan beretika juga perlu
diwujudkan, dengan menjadikan masa lalu sebagai pengajaran. Begitu juga sebuah
masyarakat yang matang dan bertoleransi perlu dipupuk sementara ketidakseimbang
dikurangkan.
Sistem, institusi dan amalan juga perlu memastikan adanya
masyarakat yang seimbang dari segi ekonomi, kata Dr Mahathir dan menambah yang
kestabilan masa hadapan negara akan lebih terjamin dan berterusan.
“Terdapat kemajuan dalam sebahagian daripada cabaran ini,
walaupun ia tidak konsisten. Apa yang penting ialah - apabila kita bersatu
diambang 2020, kita perlu belajar daripada kekurangan masa lalu dan mengandakan
usaha kita,” katanya pada persidangan dua hari dianjurkan Institut Kajian
Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) yang berakhir esok.
- Bernama
Malaysia hampir bankrap sebab 1MDB - Dr Mahathir
Reviewed by Me
on
00:22
Rating:

No comments: