SATU notis usul difailkan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya
hari ini berhubung persoalan perundangan sama ada Menteri Pendidikan mempunyai
kuasa untuk menubuhkan sekolah vernakular termasuk memberi peruntukan jutaan
ringgit.
Notis usul terbabit difailkan peguam, Mohd Khairul Azam
Abdul Aziz menerusi Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co di Pejabat
Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman.
Loading...
Dalam permohonannya, Mohd Khairul Azam mendakwa parlimen
tidak mempunyai kuasa memberi kuasa budi bicara kepada Menteri Pendidikan untuk
menubuhkan Sekolah Rendah Jenis Cina (SKJC) dan Sekolah Rendah Jenis Tamil
(SKJT).
Ini kerana Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan tidak memberi
kuasa sedemikian.
Berdasarkan faktor itu, Mohd Khairul Azam memohon satu
perintah deklarasi bahawa parlimen tidak mempunyai kuasa untuk membuat Seksyen
28 dan Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
Beliau menamakan Menteri Pendidikan Malaysia sebagai
defendan pertama manakala Kerajaan Persekutuan, defendan kedua.
loading...
Sementara itu, Mohd Khairul Azam berkata, tindakan itu
bukanlah bersifat perkauman kerana ia difailkan mengikut saluran perundangan
yang berkaitan Perlembagaan.
Beliau berkata, melihat kepada intipati Belanjawan 2020 yang
memperuntukkan RM127 juta kepada sekolah vernakular, mendorongnya untuk
mengambil tindakan itu.
“Sebagai pembayar cukai, kami mahu pastikan kerajaan hanya
membayar (memberi peruntukan) hanya kepada institusi yang dibenarkan
undang-undang.
“Maka jika mahkamah memutuskan ia tidak sah, pemberian dana
atau peruntukan tidak boleh dilakukan.
“Ini membolehkan kerajaan jimat seterusnya menyalurkan
peruntukan terbabit ke sekolah yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan,”
katanya.
Sementara itu, peguam Datuk Shaharudin Ali berkata, asas
permohonan itu ialah untuk mendapatkan perintah Mahkamah Persekutuan sama ada
parlimen mempunyai kuasa untuk membuat Seksyen 28 dan 17 Akta Pendidikan 1996
“Kami memfailkan afidavit lebih 50 muka surat dan saya rasa
lebih baik kita simpan dulu afidavit ini dan tidak diedarkan sebelum ia
diedarkan kepada pihak yang terbabit dalam kes ini,” katanya. - Harian Metro
Peguam fail usul cabar kedudukan sekolah vernakular
Reviewed by Me
on
17:21
Rating:

No comments: