Kerajaan memperuntukkan RM2.2 bilion bagi skim Program
Subsidi Petrol (PSP) bersasar yang akan memberi manfaat kepada kira-kira lapan
juta pemandu.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata bermula Januari 2020,
PSP bersasar yang merupakan sebahagian daripada janji Pakatan Harapan itu, akan
dilancarkan di Semenanjung Malaysia dengan dua kategori kelayakan.
Loading...
“Pertama ialah bagi penerima BSH (B40) yang layak, subsidi
petrol yang diberikan untuk setiap penerima adalah sebanyak RM30 sebulan untuk
pemilik kereta atau RM12 sebulan, untuk pemilik motosikal.
“Subsidi ini akan diberi dalam bentuk pemindahan tunai dan
akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan. Pembayaran
pertama akan dibuat pada April 2020 bagi tempoh Januari hingga April 2020,”
katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur
hari ini.
Beliau berkata kategori kedua iaitu bagi semua pemandu lain
yang layak dan bukan penerima BSH, mereka akan menerima Kad95 yang membolehkan
mereka menikmati subsidi petrol 30 sen per liter terhad kepada 100 liter
sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal.
Katanya, Kad95 akan dilaksanakan secara berperingkat pada
suku pertama 2020.
loading...
“Apabila skim subsidi bahan api ini dilaksanakan, harga
runcit RON95 dan diesel akan diapungkan secara beransur-ansur dan ini akan
mengurangkan ketirisan dan penyeludupan bahan api bersubsidi rentas sempadan,
yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit di pihak kerajaan.
“Subsidi layak diberikan sekiranya harga pasaran RON95 yang
ditentukan oleh Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM) melebihi RM2.08
seliter dan tiada subsidi akan diberikan sekiranya harga berada di bawah RM2.08
seliter,” katanya.
Lim turut menegaskan bahawa kenderaan mewah tidak layak
menikmati subsidi tersebut.
Katanya, kenderaan yang layak untuk subsidi itu adalah
kereta dengan kapasiti enjin 1,600cc dan ke bawah atau kereta dengan
kapasiti enjin melebihi 1600cc yang berusia lebih 10 tahun, atau motosikal
dengan kapasiti enjin sehingga 150cc dan ke bawah, atau motosikal dengan
kapasiti enjin melebihi 150cc yang berusia lebih tujuh tahun.
“Setiap rakyat yang memiliki tidak melebihi dua kereta dan
dua motosikal yang layak, akan berhak menerima PSP untuk satu kenderaan
sahaja,” katanya.
Tambahnya, pemandu kenderaan di Sabah dan Sarawak akan terus
menikmati siling harga petrol bersubsidi pada RM2.08 untuk RON95 dan RM2.18
untuk diesel.
“Sekiranya kerajaan Sabah dan Sarawak ingin menyertai PSP
ini, maka kerajaan bersedia menerima permintaan mereka,” katanya.
- Bernama
Penerima BSH dapat subsidi petrol: RM30 untuk kereta, motor RM12 sebulan
Reviewed by Faceless
on
18:57
Rating:

No comments: