Seorang pengawal keselamatan dan penjaga stor masing-masing
hari ini didakwa dua mahkamah sesyen di sini atas dua pertuduhan memiliki item
berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE.
Tertuduh pengawal keselamatan, M Pumugan, 29, yang memakai
t-shirt berwarna biru hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan
terhadapnya dibacakan di dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim, Norhayati
Mohamad Yunus.
Loading...
Mengikut pertuduhan pertama lelaki itu didakwa memiliki item
yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE
di dalam sebuah telefon bimbit di perkarangan parkir hadapan Pejabat NSE Lorry
Transport Sdn Bhd Lorong Industri Ringan, Permatang Tinggi daerah Seberang
Perai Tengah di Butterwort pada pukul 3.16 petang , 12 Okt lepas.
Bagi pertuduhan kedua, Pumugan didakwa melakukan perbuatan
sama di sebuah rumah di Juru, Bukit Mertajam di Butterwort pada pukul 4.15
petang, 12 Okt lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun
Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda
dan boleh dilucutkan hak mana-mana barangan berkenaan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang, Yusaini
Amer Abdul Karem (foto, atas) tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap
tertuduh kerana ditahan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012
(SOSMA) dan tidak dibenarkan diikat jamin.
loading...
Bagaimanapun, peguam Dr N Ahilan memohon jaminan dibenarkan
ke atas anak guamnya atas alasan tiada rujukan SOSMA dalam pertuduhan yang
dihadapi anak guamnya.
"Selain itu tertuduh menghidap penyakit sawan dan
memerlukan pemerhatian dan penjagaan rapi. Penyakit sawan ini boleh menyerang
tiba-tiba. Semasa dalam tahanan tertuduh pernah diserang sawan dan tidak
diberikan rawatan walaupun telah dimaklumkan kepada pegawai penyiasat. Maka
saya menyeru mahkamah membenarkan anak guam saya diberikan jaminan,"
katanya
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 16 Dis
untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, di mahkamah berasingan, seorang penjaga stor
S Thanagaraj, 26, turut didakwa atas dua pertuduhan sama dan hanya menganggguk
tanda faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim
Noor Aini Yusof.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana dia
ditahan di bawah SOSMA dan kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama Thanagaraj didakwa memiliki item
yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE
di dalam telefon bimbit di Sky Thommas Food Industries Sdn Bhd No 1066, Jalan
Perindustrian Bukit Minyak 2, Kawasan Perindustrian Bukit Minyak di Butterworth
pada pukul 10 pagi, 12 Okt lepas.
Bagi pertuduhan kedua lelaki itu, yang turut diwakili peguam
Ahilan, didakwa melakukan perbuatan sama di No 7, Lorong Sejahtera 3, Taman
Sejahtera, Seberang Perai Tengah di Butterworth pada pukul 11 pagi 12 Okt lepas
mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan.
Mahkamah turut menetapkan 16 Dis ini untuk sebutan kes bagi
laporan forensik dan serahan dokumen.
- Bernama
Pengawal keselamatan, penjaga stor didakwa miliki item LTTE
Reviewed by Me
on
01:30
Rating:

No comments: