Langkah pengurangan nilai had bagi kondominium dan
pangsapuri di kawasan bandar kepada RM600,000 daripada RM1 juta untuk pemilikan
asing, hanya terpakai kepada unit kondominium dan pangsapuri sedia ada yang
masih tidak terjual, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Katanya langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 itu
akan berkuat kuasa dari 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2020 sahaja dan tidak
merangkumi projek baru yang belum dilancarkan.
Loading...
“Unit sedia ada yang tidak terjual merupakan kediaman yang
tidak dapat menarik pembeli tempatan. Sehubungan itu, kelonggaran mengurangkan
nilai had untuk pemilikan asing kondominium dan pangsapuri tidak akan
menidakkan hak pembeli tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya langkah ini dijangka memanfaatkan sektor hartanah
tanpa menjejaskan kepentingan warga Malaysia.
“Pembeli tempatan tidak dinafikan hak mereka kerana
sekiranya mereka hendak beli, mereka boleh beli sekarang dan ia tidak akan
kekal sebagai unit tidak terjual,” katanya.
Katanya langkah berkenaan dicadangkan bagi membantu
mengurangkan lambakan kondominium dan pangsapuri yang tidak terjual berjumlah
RM8.3 bilion pada suku kedua 2019.
loading...
“Sekiranya unit tersebut dapat dijual, ia secara langsung
akan memberi impak limpahan ekonomi kepada negara,” katanya.
Katanya Kementerian Kewangan akan terus memantau pelaksanaan
kelonggaran tersebut berhubung pengurangan nilai had bagi memastikan objektif
dasarnya tercapai.
-Bernama
'Penurunan harga minimum untuk warga asing hanya untuk rumah tak terjual'
Reviewed by Me
on
16:51
Rating:

No comments: