Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy menjadi
ahli politik Malaysia pertama yang disaman fitnah oleh pendakwah kontroversi Dr
Zakir Naik.
Zakir memfailkan writ saman tersebut melalui firma guaman
Messrs Akberdin & Co di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
pada Rabu lalu, 16 Oktober.
Loading...
Apabila dihubungi, peguamnya Akberdin Abdul Kader
mengesahkan bahawa salinan pernyataan tuntutan telah diberikan kepada Ramasamy
pagi ini.
Tambahnya, lebih banyak saman boleh dijangka minggu depan
terhadap Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, Anggota Parlimen Klang Charles
Santiago, Adun Bagan Dalam Satees Muniandy, dan bekas duta Dennis J Ignatius.
Pada 19 Ogos, Zakir melalui penasihat undang-undangnya telah
mengemukakan surat tuntutan maaf kepada Ramasamy dan tiga yang lain, serta
menawarkan jumlah penyelesaian munasabah dalam tempoh 48 jam atau mereka akan
berdepan risiko disaman fitnah.
Tiga yang lain ialah Charles, Satees, dan Dennis.
Pada Ogos, peguam Zakir juga mengemukakan surat tuntutan
kepada Kulasegaran berhubung kenyataan menteri itu yang dikatakan berunsur
fitnah terhadap ucapan Zakir di Kelantan.
loading...
Berdasarkan salinan tuntutan tersebut, Zakir meyaman
Ramasamy atas empat pernyataan yang dikatakan mengandungi fitnah, yang dibuat
antara 10 April 2016, 1 Oktober 2017, 11 Ogos dan 20 ogos 2019.
Dalam pernyataan pertama yang dikatakan mengandungi fitnah
pada 10 April 2016, Ramasamy dikatakan memfitnah Zakir melalui satu hantaran
Facebook.
Tuduhan kedua pula adalah terhadap artikel pada 1 Oktober
2017 berjudul “Is Malaysia harbouring alleged fugitive Zakir Naik?” disiarkan
di portal Free Malaysia Today (FMT).
Tuduhan ketiga pula adalah terhadap kenyataan pada 11 Ogos
tahun ini melalui satu artikel berjudul “Naik should not question loyalty of
Hindus in Malaysia” disiarkan oleh FMT.
Ramasamy turut dikatakan memfitnah Zakir melalui satu
rakaman temu bualnya bersama media India, India Today pada 20 September tahun
ini, yang disiarkan di Youtube.
Zakir mendakwa kenyataan Ramasamy didorong oleh niat jahat,
kebencian, iri hati, hasad, dan dibuat tanpa terlebih dahulu mendapatkan
pengesahan daripada plaintif.
Dengan menyiarkan pernyataan tersebut, kata plaintif,
defendah telah secara nyata merujuk plaintif sebagai orang yang berpewatakan
jahat dan menjadi ancaman kepada keamanan, kedamaian, dan keharmonian negara.
Plaintif mendakwa bahawa kenyataan-kenyataan berkenaan
adalah tidak berasas, tidak benar, fabrikasi, palsu, keseluruhannya
direka-reka, diubah dan cenderung untuk mencapai agenda defendan.
Zakir mendakwa kenyataan itu bertujuan membangkitkan
kemeluatan, niat jahat, kebencian orang awam terhadap plaintif, dan dibuat bagi
mendapatkan publisiti murahan, dan sanjungan buat defendan.
Ia juga, kata Zakir, telah mendedahkannya kepada bahaya
secara fizikal, mental, emosi dan psikologi.
“Dengan menerbitkan pernyataan fitnah tersebut, defendan
juga telah menghasut, menyerang, dan menimbulkan sensitiviti kaum, agama dan
etnik di kalangan rakyat Malaysia pada umumnya.
“Defendan telah secara salah memetik kata-kata plaintif di
luar konteks, sedangkan plaintif sebenarnya memuji Malaysia kerana tulus dan
bijaksana dalam melayani dan menegakkan hak kaum minoriti (termasuk, tetapi
tidak hanya terhad kepada penganut Hindu), selaras dengan prinsip Islam,
sesuatu yang gagal dilakukan oleh kerajaan India terhadap kaum minoritinya.
“Defendan telah secara sengaja mengambil kata-kata plaintif
di luar konteks dengan harapan untuk memberi kemudaratan kepada plaintif, inter
alia (antara lain) bagi tujuan politiknya,” kata tuntutan yang bertarikh 16
Oktober itu.
Plaintif memohon injunksi mandatori untuk memaksa Ramasamy
mengeluarkan pernyataan-pernyataan fitnah tersebut daripada laman sesawang dan
sosial media yang berkaitan.
Plaintif turut memohon injunksi kekal untuk menghalang
defendan daripada menerbitkan, mengedarkan dan memuat naik sebarang kenyataan
fitnah di mana-mana medium.
Zakir meminta permohonan maaf daripada Ramasamy untuk
disiarkan di laman Facebook defendan, selain media termasuklah akhbar Berita
Harian, Sinar Harian, The Star, Free Malaysia Today (FMT), Sin Chew Daily,
Tamil Nesan, dalam masa tujuh hari daripada tarikh perintah tersebut.
Plaintif memohon ganti rugi am, ganti rugi pampasan, ganti
rugi teruk dan ganti rugi teladan termasuklah faedah atas jumlah penghakiman
sebanyak lima peratus setahun dikira dari tarikh pemfailan writ sehinggalah
penyelesaian penuh, kos, dan sebaran relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Pada 22 Ogos, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata
Zakir akan terus tinggal di Malaysia, biarpun berdepan desakan daripada
beberapa pihak dalam PH agar pendakwah itu diusir. - Malaysiakini
Zakir Naik saman Ramasamy
Reviewed by Me
on
16:26
Rating:

No comments: