Foto Berita Harian
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa pengendali laman blog,
Papagomo telah mencengkam bahu dan leher kiri beliau yang menyebabkan 'soft
tissue injury' sebelum mengatakan perkataan 'kau bodoh' di telinganya.
Menceritakan kembali insiden pada hari penamaan calon
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih Februari lalu
Syed Saddiq, 26, berkata, beliau dan tiga lagi pegawainya, Mohd Aizad Roslan,
38; Pemangku Sjn Mohd Amin Bacho, 41, dan Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, 29,
sedang berjalan ke arah keretanya sendiri yang di parkir di luar kawasan dewan
penamaan calon diadakan.
Loading...
"Pada jam 11 pagi itu, jalan yang dilalui kami telah
dibuka sekatan oleh pihak polis kerana sesi penamaan calon telah selesai. Di
seberang sepanjang jalan itu ada sekumpulan penyokong parti politik pihak lawan
kira-kira 50 ke 100 orang dan mereka mula berulang-ulang mengeluarkan kata-kata
kesat seperti "babi, "bangsat" dan "hancing" terhadap
kami.
"Kami terus berjalan tetapi kemudian terdapat
sekumpulan dari mereka yang mula merentasi jalan dan mengepung kami. Apabila
dikepung kami rasa cemas, gusar dan takut kerana bilangan mereka lebih ramai
berbanding kami," katanya.
Ahli Parlimen Muar itu berkata demikian ketika pemeriksaan
utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin pada hari
kedua perbicaraan kes yang dihadapi Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad
Azri Wan Deris, 36, atas dua pertuduhan mengaibkan dan mendatangkan kecederaan
terhadap menteri itu
Setelah melihat tindakan para penyokong pihak lawan, Syed
Saddiq berkata pegawai keselamatannya yang juga saksi pendakwaan pertama, Mohd
Amin Bacho termasuk anggota polis trafik dan juga beberapa sukarelawan unit
amal dari salah satu parti lawan datang untuk melindunginya.
loading...
"Walaupun polis sudah ada di sebelah kiri, ada salah
seorang dari mereka yang dikenali sebagai Papagomo datang berlari ke arah kami
menggunakan jalan parit di sebelah kanan. Dia telah datang ke sebelah saya dan
terus mencengkam bahu dan leher kiri saya.
"Saya terus berjalan ke hadapan dan dia cakap di
telinga saya "kau bodoh" dan ada beberapa lagi perkataan yang saya
tak dengar kerana keadaan ketika itu yang mencemaskan," kata menteri itu.
Menurutnya lagi, tekanan daripada cengkaman selama tiga
hingga lima saat di bahu dan lehernya itu telah menyebabkan kesakitan dan
beliau merasakannya sejurus tiba di kediamannya.
"Tanpa membazirkan masa saya terus membuat laporan
polis dan membuat pemeriksaan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan
selepas diperiksa dan melakukan x-ray, doktor memaklumkan ada 'soft tissue
injury'. Berikutan itu saya diberikan suntikan tahan sakit (painkiller) di
lengan dan dua jenis ubat untuk dimakan,” katanya.
Ketika ditanya Muhammad Hairuliqram sekiranya beliau
mengenali Papagomo, Syed Saddiq menjawab 'Ya' dan membuat pengecaman di dalam
mahkamah terhadap lelaki itu selaku Orang Kena Saman (OKS).
Terdahulu, Majistret Nor Afidah Idris turut memberi amaran
agar pihak-pihak termasuk Papagomo sendiri, pihak peguam serta media tidak
mengeluarkan sebarang kenyataan yang dapat mengelirukan orang awam dan
mengganggu perbicaraan selepas membenarkan permohonan Muhammad Hairuliqram.
Muhammad Hairuliqram memohon supaya Papagomo yang diwakili
peguam Nik Saiful Adli Burhan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan di media
sosial yang boleh mengelirukan orang awam seperti pada 4 Nov lepas, di mana
pihaknya mengeluarkan kenyataan memohon untuk mengeluarkan waran tangkap
terhadap Syed Saddiq.
Pada 28 Februari lalu Papagamo yang juga Exco Pemuda UMNO
didakwa mengaibkan kehormatan Syed Saddiq dengan menyebut 'ko bodoh' bagi
maksud mengganggu kesantunannya di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana
Impian pada jam 11.05 pagi 16 Februari lalu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan
yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya,
jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua OKS didakwa dengan sengaja menyebabkan
kecederaan di leher dan bahu Ketua ARMADA itu pada masa, tempat dan tarikh sama
mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara
sehingga setahun atau denda sehingga RM2, 000 atau kedua-duanya jika sabit
kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Majistret Nor Afidah Idris bersambung
28 Januari 2020. - Bernama
Cengkaman Papagomo sebabkan soft tissue injury: Syed Saddiq
Reviewed by Me
on
16:12
Rating:
No comments: