Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan habeas corpus
difailkan lima lelaki termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), yang
ditahan berkaitan kumpulan LTTE supaya mereka dibebaskan serta-merta daripada
tahanan.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh ketika
membuat keputusan itu berkata permohonan dikemukakan oleh kesemua pemohon kini
bersifat akademik dan tidak relevan kerana mereka telah dituduh di mahkamah.
Loading...
"Penahanan kesemua pemohon sudah berakhir apabila
mereka dituduh di mahkamah. Tiada lagi isu dalam permohonan ini. Oleh itu,
permohonan kesemua pemohon ditolak," katanya.
Mereka ialah G Saminathan, 34, dan P Gunasekaran, 60,
masing-masing merupakan Adun Gadek (Melaka) dan Adun Seremban Jaya (Negeri
Sembilan), S Chandru, 38, dan V Suresh Kumar, 43, merupakan ahli DAP dan
seorang juruteknik, S Arivainathan, 56.
Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Muhammad Sinti yang
mewakili kesemua responden berkata pihaknya membantah permohonan habeas corpus
itu atas alasan ia sudah menjadi akademik selepas pemohon dituduh di mahkamah.
loading...
Katanya kini semua pemohon ditahan reman di Penjara Sungai
Buloh selepas didakwa di Mahkamah Sesyen.
Peguam Ramkarpal Singh, yang mewakili kesemua pemohon
berkata penangkapan dan penahanan anak guamnya di bawah Akta Kesalahan
Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah menyalahi undang-undang
kerana menurut kertas pertuduhan, kesalahan itu dilakukan selepas mereka
ditahan.
Pada 21 Okt, kesemua pemohon memfailkan permohonan habeas
corpus dengan menamakan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipengganas (E8)
Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay; Insp Jasveer Singh
(pegawai polis yang menangkap mereka); Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid
Bador, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama
hingga kelima.
Dalam permohonan itu, mereka memohon perintah mahkamah
bahawa penahanan mereka melalui notis di bawah Seksyen 5(1)a Akta SOSMA 2012
bertarikh antara 10 dan 12 Okt lepas yang dikeluarkan responden kedua (Jasveer)
dan dilaksanakan di bawah seliaan responden pertama (Ayob Khan) di Ibu Pejabat
Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Kuala Lumpur adalah tidak sah dan terbatal.
Mereka juga memohon satu writ habeas corpus dikeluarkan
mahkamah supaya dibebaskan serta-merta daripada tahanan, selain turut memohon
relif-relif lain yang dianggap adil dan sesuai oleh mahkamah.
Permohonan itu juga meletakkan alasan penahanan mereka telah
melanggari prinsip hak kesamarataan, selain tidak mempunyai hak akses kepada
peguam ketika kejadian.
Sementara itu, Ramkarpal ketika ditemui pemberita berkata
pihaknya akan memfailkan permohonan baharu esok bagi mencabar peruntukan di
bawah SOSMA.
Pada 29 dan 31 Okt, kelima-lima pemohon bersama tujuh lelaki
didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di sini dan di beberapa negeri atas
pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.
- Bernama
Mahkamah tolak permohonan habeas corpus dua Adun, tiga lelaki
Reviewed by Me
on
17:40
Rating:
No comments: