Malaysia mempunyai undang-undang dan sistem sendiri dalam
menentukan sama ada sesuatu kumpulan itu ekstremis atau pengganas, termasuk
dalam kes LTTE.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8)
Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata walaupun
Amerika Syarikat (AS) telah mengeluarkan LTTE daripada senarai kumpulan
pengganas, ia tidak boleh dijadikan sebagai asas bagi Malaysia.
Loading...
"Kita negara berdaulat dan mempunyai undang-undang
sendiri, setiap yang kita buat ada prosedur operasi standard (SOP). Kita tidak
boleh jadikan senarai AS sebagai asas kerana banyak negara lain masih
senaraikan LTTE sebagai kumpulan pengganas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui
selepas menjadi ahli panel pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Jenayah
Kewangan dan Pembiayaan Keganasan 2019 kali ke-11 (IFCTF 2019) di Kuala Lumpur,
hari ini.
Mengulas mengenai siasatan pembiayaian keganasan, Ayob Khan
berkata sebanyak 22 kertas siasatan dibuka dengan 19 individu dituduh di
mahkamah sejak 2016 sehingga kini.
loading...
Beliau berkata transaksi wang walaupun dalam jumlah yang
kecil tetap menjadi satu kesalahan sekiranya ia disalur untuk membiayai
kegiatan keganasan.
"Ada yang melakukan transaksi dari RM100 sehingga
jumlah yang besar dengan kerap dan ini boleh dikesan dengan bantuan pihak bank.
"Kebanyakan mereka guna Western Union untuk melakukan
transaksi kepada keluarga ataupun pihak ketiga sebagai dana ke Syria dan
Selatan Filipina," katanya.
Sementara itu, nasib anggota militan, Yazid Sufaat yang kini
ditahan di Penjara Simpang Renggam, akan ditentukan Lembaga Pencegahan
Terorisme yang bakal bersidang pertengahan bulan ini.
Ayob Khan berkata pihaknya masih menunggu keputusan
berhubung pembebasan Yazid yang setakat ini belum dimuktamadkan.
"Kami sudah memberikan input dan kini kita tunggu
keputusan Lembaga Pencegahan Terorisme yang akan bersidang pada pertengahan
bulan ini," katanya.
Yazid, 55, yang mempunyai kaitan langsung dengan serangan 11
Sept 2001 di Amerika Syarikat mungkin dibebaskan daripada tahanan bulan ini dan
pembebasan itu mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pegawai
antiterorisme negara.
Yazid ditahan di Penjara Simpang Renggam, dekat Kluang,
selama dua tahun di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA) yang membenarkan
suspek ditahan tanpa dibicarakan selama dua tahun.
Ditanya mengenai keberadaan rakyat Malaysia di Syria, beliau
berkata setakat ini seramai 65 orang telah dikenal pasti namun hanya 40 orang
yang berjaya dihubungi.
- Bernama
LTTE: Kita negara berdaulat, ada undang-undang sendiri, kata polis
Reviewed by Me
on
17:33
Rating:
No comments: