Ramai dalam kalangan ahli perundangan berpendapat Datuk
Lokman Noor Adam telah menghina mahkamah kerana mereka menganggap kenyataannya
mempersoalkan keputusan mahkamah.
Menggesa agar tindakan diambil terhadap Ahli Majlis
Tertinggi UMNO itu, mereka berpendapat Lokman telah mengeluarkan kritikan yang
melampaui batas dengan mendakwa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah
mempengaruhi badan kehakiman Mahkamah Tinggi apabila memutuskan bekas perdana
menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diarah membela diri dalam kes SRC International
Sdn Bhd.
Loading...
Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang
menyampaikan keputusan itu pada Isnin, memerintahkan Najib membela diri atas
tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna
kuasa melibatkan sejumlah RM42 juta daripada dana SRC.
Peguam jenayah Datuk N. Sivananthan berkata dakwaan Lokman
itu ‘jelas menghina mahkamah’ kerana mencadangkan hakim membuat keputusannya di
bawah pengaruh pihak ketiga.
“Ini bukan hanya menjejaskan imej hakim tetapi juga badan
kehakiman. Ia menjadikan mahkamah tidak lagi dipercayai dan kenyataan seperti
ini juga menghakis keyakinan orang ramai terhadap sistem perundangan,” katanya
kepada Bernama.
loading...
“Mahkamah sepatutnya mengeluarkan notis kepada Lokman untuk
hadir ke mahkamah dan menjelaskan mengapa prosiding komital tidak boleh
dimulakan ke atasnya...kerana perbuatannya dianggap menghina mahkamah. Mahkamah
harus mengambil tindakan terhadapnya,” kata Sivananthan.
Berkongsi sentimen yang sama, Presiden Majlis Peguam Datuk
Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata ia adalah tuduhan yang serius dan Lokman
telah mempersoalkan integriti badan kehakiman dan melampaui kritikan yang adil
terhadap keputusan itu serta tidak mempunyai merit.
“Ia bertujuan untuk menghakis keyakinan orang ramai terhadap
badan kehakiman dan menjejaskan integriti dan kesaksamaan mahkamah yang selalu
dianggap adil dalam keputusan mereka, dibuat berdasarkan fakta dan bukti.
“Majlis berpendapat kenyataan itu sebagai penghinaan.
Serangan (kenyataan) terhadap mahkamah tidak sepatutnya dibuat dan mestilah
dihindari setiap masa,” katanya.
Peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar juga berpendapat
kenyataan itu mengkritik mahkamah, ia adalah perbuatan menghina yang boleh
dijatuhi hukuman penjara.
“Peguam Negara diberi kuasa untuk memulakan prosiding
komital terhadap pihak yang menghina atas alasan kenyataan yang dikeluarkan
boleh menghakis keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman," katanya
dan memetik kes baru-baru ini yang seorang peguam dipenjarakan 30 hari kerana
menghina mahkamah.
"Mahkamah boleh mengenakan hukuman penjara, berdasarkan
tahap kritikan yang dibuat, jika tiada permohonan maaf dikemukakan," kata
peguam yang merupakan bekas pensyarah undang-undang Universiti Malaya.
Gurdial Singh menegaskan bahawa mahkamah harus mengambil
pandangan yang serius mengenai perkara itu kerana ia mencemarkan nama baik
badan kehakiman secara keseluruhannya dan menjejaskan keyakinan orang ramai
terhadap badan kehakiman.
Semalam, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak
dakwaan Lokman kononnya Dr Mahathir campur tangan dalam kes mahkamah
membabitkan Najib adalah tuduhan tidak berasas sama sekali, kerana proses
undang-undang di negara ini berjalan secara telus serta bebas dan ia perlu
dihormati. - Bernama
Gesa tindakan terhadap Lokman berhubung kenyataan hina mahkamah
Reviewed by Me
on
22:12
Rating:

No comments: