Penduduk Tanjung Piai telah memutuskan untuk menolak Pakatan
Harapan. Bukan sedikit dan kecil-kecilan. Bukan sekadar mesej ringan bersifat
sipi-sipi. Tetapi, penolakan besar-besaran yang sangat mengaibkan.
Kekalahan BN dalam PRU14 di Tanjung Piai sebelum ini dengan
majoriti kira-kira 500 lebih undi bukanlah sesuatu yang sangat menyedihkan.
Namun, kemenangan besar dengan majoriti melebihi 15 ribu undi sudah pasti
sesuatu yang sangat menggembirakan.
Loading...
Ada beberapa maksud besar daripada keputusan ini.
Pertama, keputusan PRK Tanjung Piai adalah bukti nyata
betapa Bersatu semakin tidak diterima oleh orang Melayu. Parti ini tidak
diyakini dan tidak mewakili suara orang Melayu. Apatah lagi kepentingan dan
isu-isu orang Melayu.
Sebaliknya, kekuatan Umno dan rakan komponen kami dalam BN
masih sangat utuh di peringkat akar umbi.
Bersatu tidak akan dapat sama sekali mengganti Umno dari
segi pengaruh, bakti dan khidmat di kalangan orang Melayu. Bersatu mesti mula
menerima hakikat ini. Jangan berdolak-dalik lagi. Jangan cuba menyedapkan hati
lagi.
loading...
Malah, Tanjung Piai ini petanda bahawa Bersatu tidak akan
punya hayat yang lama dalam persada politik Malaysia. Era pasca Dr Mahathir
Mohamad nanti akan turut menjadi era politik Malaysia pasca Bersatu.
Kedua, Bersatu gagal mendapat kepercayaan masyarakat Cina.
Sekalipun mereka bermuka-muka dengan menyatakan mereka adalah parti untuk
semua, nampaknya mereka tidak lebih dari sekadar bertepuk sendirian.
Masyarakat Cina telah menolak Bersatu dengan lantang. Bagi
mereka, parti ini tidak sedikit pun mewakili Pakatan Harapan.
Di Tanjung Piai, masyarakat Cina mengundi MCA bukan kerana
MCA ini sempurna dan tiada kekurangan. Bukan.
Tetapi kerana orang Cina ingin memberi pengajaran kepada
Bersatu dan Dr Mahathir. Jangan terus berselindung di sebalik retorik
kesederhanaan sedangkan hakikatnya pergerakan mereka bersikap perkauman yang
sangat menebal lagi jelik.
Ketiga, seperti yang saya telah katakan sebelum ini, Dr
Mahathir tidak lagi mempunyai kewibawaan untuk memimpin Malaysia. Beliau telah
hilang pesona dan magisnya.
Sentuhannya sudah tidak menjadi. Gertakannya sudah tidak
lantang. Sindir perlinya sudah tidak pedih dan menyengat.
Jasa besar beliau akan terus kita kenangkan. Masa silam
Malaysia yang maju di bawah terajunya akan terus kita akui dan banggakan.
Namun, masa hadapan Malaysia terlalu berharga untuk kita masih cagarkan pada
beliau.
Tanjung Piai adalah referendum rakyat yang jelas menolak
kepimpinan beliau. Tidak pernah dalam sejarah pilihan raya Malaysia, seorang
Perdana Menteri berkempen begitu gigih seperti yang beliau lakukan di Tanjung
Piai namun masih tersungkur teruk dengan majoriti yang mengaibkan.
Kepada Tun Mahathir, jika Tun dan kroni Tun masih berdegil
dan beranggapan bahawa Dr Mahathir adalah penyelamat Malaysia, Tanjung Piai
telah membuktikan sebaliknya.
Dengan janji-janji projek jutaan ringgit, imbuhan nelayan
yang turun secara tiba-tiba, idea pembangunan pelancongan Tanjung Piai dan
segala macam lagi gula-gula yang diumpankan, Bersatu tetap gagal.
Keempat, pengundi Malaysia, baik Melayu atau Cina, adalah
rasional. Mereka hanya ada satu kesetiaan dalam berpolitik. Iaitu kesetiaan
kepada mereka yang benar pada janji dan benar dalam khidmat.
Oleh kerana PH telah mungkir dan gagal dalam tanggung jawab
mereka kepada rakyat Malaysia, maka pengundi berbilang bangsa menolak mereka
tanpa simpati.
Inilah bukti bahawa pengundi menjadikan manifesto sebagai
perkara penting. Biarpun ia bukan kitab suci, ia adalah tali yang mengikat ahli
politik dan sebuah kewibawaan.
Bila manifesto gagal dilaksanakan, pengundi tanpa berlengah
menolak PH. Mereka tidak mahu menunggu lima tahun. Mereka tahu, kalau dalam 18
bulan pertama, PH telah gagal, lima tahun adalah masa yang terlalu lama untuk
menghukum kegagalan tersebut.
Kelima, kerjasama Umno dan PAS sekali lagi membuktikan
keberkesanannya sebagai formula yang ampuh untuk masa depan Malaysia. Pengundi
Cina Tanjung Piai sedar dan faham bahawa kerjasama ini tidak akan menjadikan
Malaysia negara Taliban.
Kerjasama ini bukan deklarasi perang ke atas bukan Melayu.
Tetapi, ia adalah ‘political force’ yang sebenar kepada orang Melayu yang tidak
pun memberi ancaman kepada bukan Melayu.
Kerjasama Umno-PAS dalam kerangka Muafakat Nasional bukan
sahaja akan terus memberikan kemenangan kepada BN. Tetapi, inilah jalan ke
hadapan untuk Malaysia.
Walaupun MCA tidak pernah menerima atau memberikan
‘endorsement’ rasmi kepada Muafakat Nasional, Umno dan PAS terus memenangkannya
dengan ikhlas tanpa syarat. Pada kami, ini adalah sikap dan amalan politik yang
matang dan berpandangan jauh.
Yang kami lihat dan sedar, kekuatan MCA dan MIC harus
disokong kuat dengan pengaruh Umno dan PAS. Hanya dengan yang demikian, MCA,
malah MIC, akan menang. Dan begitulah sebaliknya, MCA dan MIC mesti gunakan
pengaruhnya untuk memberi kekuatan kepada Umno dan PAS.
Perkara ini akan menjadi fokus bersama untuk diperkemas
selepas ini. Dan sudah tiba juga masanya MCA memikirkan jalan kehadapan dalam
hubungannya dengan Muafakat Nasional.
Tahniah MCA dan selamat berkhidmat kepada Wee Jeck Seng.
Terima kasih Tanjung Piai, terima kasih Umno, terima kasih PAS, terima kasih
MIC dan terima kasih semua yang bersama-sama menjayakan kemenangan manis ini.
MOHAMED KHALED NORDIN ialah Naib Presiden Umno.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya
mencerminkan pendirian Kami.
Hayat Bersatu tak lama lepas Tanjung Piai - Khaled Nordin
Reviewed by Me
on
18:29
Rating:

No comments: