Masih ramai ahli Parlimen pembangkang terutama daripada
Barisan Nasional (BN) belum membuat pengisytiharan harta walaupun prosesnya
mudah, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon.
Mohd Rashid berkata situasi itu berbeza berbanding ahli
Parlimen kerajaan yang sudah lama mempraktikkan perkara itu sejak dahulu,
ketika bergelar pembangkang.
Loading...
Beliau berkata pengisytiharan harta adalah penting bagi
mengelakkan berlakunya pertelingkahan kepentingan selain tuduhan palsu
sekaligus meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi politik.
"Proses ini senang sahaja. Dalam Parlimen sendiri juga
ada wakil yang boleh menyokong. Kalau seseorang itu ada membeli rumah atau
tanah termasuk di luar negara, kita boleh isytiharkan sekali.
“Macam di Pulau Pinang kita sudah lantik dua firma untuk
membuat pengauditan untuk sahkan pengisytiharan harta yang dilakukan,"
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program
Bual Bicara Bersama Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bertajuk ‘Reformasi
Parlimen’ yang turut dihadiri Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan,
Prof Madya Dr Zulkifli Mohamed di Dewan Profesional UiTM Machang di Kelantan,
hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Rashid berkata antara isu paling
hangat mengenai pengisytiharan harta adalah berkaitan 1Malaysia Development
Berhad (1MDB) yang kini sedang dibicarakan di mahkamah melibatkan bekas perdana
menteri, Najib Tun Razak.
loading...
"Melalui pengisytiharan harta, perkara seperti ini
dapat menghalang mana-mana institusi yang memberikan wang kepada negara dan
pada masa sama, kita harus membanterasnya dengan penggubalan akta dan
sebagainya.
"Ketika menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang,
saya melakukan penambahbaikan dan perkara sama juga dilakukan di
Parlimen," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata bukan mudah untuk meminta
mana-mana ahli Parlimen berbuat demikian walaupun kerajaan mempunyai kuasa.
Sementara itu, Mohd Rashid berkata program bual bicara yang
diadakan bersama institusi pendidikan tinggi mampu mendidik dan mendedahkan
mereka dengan institusi yang mengawal kerajaan iaitu Parlimen, pentadbiran dan
kehakiman.
"Mahasiswa perlu didedahkan perkara ini untuk
pengetahuan mereka di masa hadapan," katanya.
- Bernama
Masih ramai MP pembangkang belum isytihar harta
Reviewed by Me
on
18:32
Rating:

No comments: