Walau hormat, Ibrahim minta Dr Mahathir jangan melampau



KUALA LUMPUR, 5 Sept ― Datuk Ibrahim Ali menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mempertikaikan hala tuju politiknya yang tidak sehala dengan perdana menteri.

Pengasas Perkasa berkata hala tujunya sejak meninggalkan Umno tidak berubah dan mengambil pendekatan tidak berpihak selaku ketua badan bukan kerajaan (NGO).

Ibrahim mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mempersoalkan bekas ahli parlimen Pasir Mas itu tidak menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Katanya, Dr Mahathir mendakwa penolakannya terhadap Bersatu adalah kerana DAP selain mempersoalkan perbezaan parti itu dengan MCA.

“Bila masa saya sokong MCA? Saya tolak DAP, saya juga kecam MCA sebelum ini.

“MCA buat perjanjian dengan Parti Komunis China, Perkasa buat laporan polis. Dr Mahathir tidak tahu.

“Saya hormatnya sebagai pemimpin negarawan tetapi jangan melampau buat tuduhan yang tidak berasas terutama terhadap diri saya secara peribadi.

“Kalau Tun ada maruah, saya pun ada maruah,” katanya kepada ProjekMM.

Ibrahim berkata penolakannya menyertai Bersatu bukan bermakna merestui apa yang dilakukan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, Dr Mahathir harus berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan bagi mengelak malu diri sendiri di kemudian hari.

“Bila masa saya sokong Najib? Bila timbul isu 1MDB, Perkasa NGO pertama mendesak ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

“Bila saya tidak ikut, beliau mencari justifikasi menuduh saya bukan-bukan. Saya pun ada maruah.

“Jangan bicara di Padang Mahsyar besok, malu nanti, sebab mulut, kaki dan tangan bercakap,” katanya.

Bekas ahli lembaga pengarah UiTM itu berkata perasaan marahnya itu tidak sesekali membuatkannya rasa hilang hormat kepada perdana menteri.

“Dalam politik, kita berbeza pendapat, dalam Islam, kita tidak boleh putus hubungan silaturahim.

“Saya hormat beliau sebagai bekas perdana menteri. Walau banyak kelemahan, jasanya tidak sedikit,” katanya.
Walau hormat, Ibrahim minta Dr Mahathir jangan melampau Walau hormat, Ibrahim minta Dr Mahathir jangan melampau Reviewed by Faceless on 19:16 Rating: 5

No comments:

Loading...
loading...
Powered by Blogger.