oleh Shahbudin Husin
Untuk kesekian kalinya, Tun Mahathir Mohamad sekali lagi
mengulangi ketetapannya bahawa beliau hanya menjadi Perdana Menteri bagi tempoh
dua tahun saja.
“Saya telah berjanji akan meletakkan jawatan. Saya akan
pegang janji itu. Adakah anda ingat ada sebarang perkara yang saya tidak
menepati janji saya. Saya satu-satunya diktator yang meletak jawatan,” katanya.
Loading...
Tambah Tun Mahathir lagi, sebaik meletakkan jawatan nanti,
beliau akan menyerahkan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk
menggantikannya.
Bagaimanapun, katanya, jika Anwar sedia memberi laluan lebih
lama kepadanya menjadi Perdana Menteri, maka dapatlah beliau memegang jawatan
itu sehingga dua tahun setengah lamanya.
“Kalau dia (Anwar) izin dua tahun setengahlah (jadi Perdana
Menteri),” kata Tun Mahathir berseloroh sambil melirik kepada Anwar yang duduk
di sebelahnya dalam satu sidang media tempohari.
Daripada reaksi Tun Mahathir kali ini, meskipun nampaknya
tetap berpegang kepada janji untuk hanya menjadi Perdana Menteri selama dua
tahun saja, tetapi beliau juga tiada masalah untuk memegang jawatan itu dalam
tempoh yang melebihi dua tahun.
Ia tentunya jika usaha-usaha memulihkan ekonomi dan
menyelesaikan hutang-hutang negara masih tidak selesai dalam tempoh dua tahun
beliau menjadi Perdana Menteri.
Tetapi, sebagai menghormati janji yang sudah dilafazkannya
itu, selain Pakatan Harapan boleh membuat ketetapan lain berhubung masa beliau
sepatutnya berundur, ia juga boleh dilakukan jika Anwar sendiri yang memberi
keizinan kepada Tun Mahathir untuk terus menjadi Perdana Menteri melebihi
tempoh dua tahun.
Meskipun hanya berseloroh jika Anwar memberi laluan,
dapatlah beliau menjadi Perdana Menteri sehingga dua tahun setengah, hakikatnya
kata-kata Tun Mahathir itu bukanlah selorohan kosong semata-mata.
Ia barangkali menuntut Anwar untuk berfikir dengan serius
tentang negara dan tidak hanya mengutamakan kepentingan peribadinya sahaja,
lebih-lebih lagi jika masalah ekonomi dan hutang masih banyak yang tidak
selesai.
Pendirian Tun Mahathir itu juga nampaknya selari dengan
kenyataan Setiausaha Politiknya, Zahid Md Arip baru-baru ini yang berpendapat
adalah wajar untuk Anwar sendiri memujuk Pengerusi Pakatan Harapan itu untuk
menjadi Perdana Menteri bagi tempoh melebihi dua tahun.
Ini kerana, kata beliau, tempoh masa dua tahun adalah
terlalu singkat bagi Tun Mahathir menyelesaikan pelbagai masalah serta
kerosakan dalam negara yang ditinggalkan UMNO dan BN yang telah mentadbir
negara ini selama 61 tahun lamanya.
Kenyataan itu kemudian disusuli dengan usul Bersatu Bahagian
Setiawangsa yang juga diketuai Zahid dalam mesyuaratnya 29 Oktober baru-baru
ini yang membuat ketetapan agar Tun Mahathir diberi tempoh memegang jawatan
Perdana Menteri selama sepenggal sehingga PRU15.
Daripada semua rentetan itu, maksud yang paling mudah
difahami ialah Tun Mahathir hanya akan senang hati menjadi Perdana Menteri
melebihi tempoh dua tahun jika Anwar sendiri yang sedia memberi laluan kepada
perlanjutan tempoh masa itu.
Jika tidak, sebagaimana dijanjikan, Tun Mahathir tetap akan
berundur selepas dua tahun untuk memberi laluan kepada Anwar mengambil alih
jawatan Perdana Menteri yang disandangnya sekarang.
Persoalannya, bagaimana dengan Anwar?
Sediakah beliau memberi keizinan untuk Tun Mahathir lebih
lama menjadi Perdana Menteri atau Anwar tetap berkeras mahu mengambil alih
jawatan itu genap-genap dua tahun selepas Tun Mahathir mendudukinya sebagaimana
yang dijanjikan sebelum ini?
Atau kalau ditanya pendapat rakyat secara umum, apa agaknya
pendapat mereka – Tun Mahathir perlu diberi lebih masa sebagai Perdana Menteri
dan Anwar kena bersabar dulu atau Tun Mahathir wajib undur sebaik mencecah
titik masa dua tahun untuk digantikan segera dengan Anwar?
Anwar beri izin Tun Mahathir jadi PM lebih dua tahun?
Reviewed by Me
on
05:12
Rating:
No comments: