oleh Shahbudin Husin
Agak kelakar dan menggelikan hati apabila UMNO tiba-tiba
menganjurkan Perhimpunan Melayu Bangkit yang semua orang faham tujuan utamanya
ialah untuk mengajak rakyat menolak kerajaan Pakatan Harapan yang sedang
mentadbir negara sekarang ini.
Pelbagai kecaman, cemuhan, kritikan dan kata-kata cacian,
malah fitnah dilemparkan dengan tujuan menimbulkan kebencian kepada kerajaan
dalam perhimpunan yang diadakan di Pasir Salak itu.
Tak cukup dengan itu, ada juga pemimpin UMNO yang tampil
dalam perhimpunan tersebut hanya dengan memakai kain pelikat saja untuk
menunjukkan dia kononnya pemimpin marhaen dan hidup seperti rakyat bawahan yang
lain.
Dan seperti biasa, untuk menyebabkan Melayu kononnya dapat
dibangkitkan, DAP terus dijadikan sasaran kerana didakwa telah menguasai
kerajaan, mengenepikan hak-hak Bumiputera, mengancam institusi Raja serta
kedudukan Islam.
Hairan sungguh mereka ini, sejak daripada ada kuasa hingga
hilang kuasa, memanjang menyalahkan DAP saja.
Jika benar di mata UMNO bahawa DAP salah, DAP mengancam
Raja, DAP menggugat kedudukan Melayu serta Islam dan semua yang jahat adalah
DAP, mengapa parti itu tidak diharamkan saja ketika UMNO berkuasa dahulu?
Mengapa setelah hilang kuasa baru hendak melalak bagai nak
pecah anak tekak?
Yang nyatanya, semua perlakuan pemimpin UMNO dalam himpunan
tersebut tidak lebih menunjukkan mereka sudah mula sasau dan hilang akal
apabila kuasa tiada lagi dalam genggaman.
Selama ini mereka begitu yakin UMNO itu keramat dan tidak
boleh dikalahkan, lalu menyamun dan merompaklah mereka sesuka hati atas nama
perjuangan Melayu dan membela hak Bumiputera.
Kini, belum pun empat bulan hilang kuasa dan aktiviti
menyamun tidak boleh dilakukan lagi, mereka sudah mula mengajak Melayu untuk
bangkit yang semuanya menggambarkan ketidakbiasaan hidup tanpa kuasa.
Bangkit untuk apa dan Melayu bangkit bagaimana yang
diperjuangkan UMNO lagi sebenarnya?
Kenapa selama 61 tahun berkuasa tidak pernah mengajak Melayu
untuk sentiasa bangkit?
Jika selama berkuasa dahulu, Melayu sudah berjaya
dibangkitkan, tentulah tidak perlu lagi diajak untuk bangkit sekarang ini?
Apa jadahnya setelah hilang kuasa baru nak mengajak orang
Melayu untuk bangkit?
Sedar dan insaflah wahai pemimpin-pemimpin UMNO, rakyat
telah memberi peluang untuk berkuasa dengan cukup lama iaitu 61 tahun lamanya.
Apa yang diperjuangkan dan dibela selama ini selain
keluarga, anak bini dan kroni?
Bukankah UMNO dan BN kalah dalam PRU14 lalu merupakan fakta
yang menunjukkan rakyat dan orang Melayu sudah bangkit menolak parti itu?
Kebangkitan apa yang lebih besar selain menumbangkan
kerajaan yang diberi peluang berkuasa selama 61 tahun lamanya? Jadi, nak diajak
bangkit untuk apa lagi?
Realitinya yang tumbang dan tersungkur ketika ini hanyalah
para pemimpin UMNO sahaja, manakala rakyat kebanyakan dan orang Melayu secara
majoritinya tetap gembira dan hidup seperti biasa.
Apakah ajakan agar Melayu bangkit itu bertujuan untuk
membolehkan para pemimpin UMNO yang sudah tumbang dan tersungkur itu dapat
bangkit kembali?
Selepas bangkit nanti, apa mereka akan lakukan?
Merompak dan menyamun lagi seperti dahulu?
Melayu dah bangkit PRU14, Umno nak suruh bangkit apa lagi?
Reviewed by Faceless
on
19:08
Rating:
No comments: