Maszlee jawab Najib: Tidak benar belanja makanan SBP dipotong, suruh Najib buat homework sebelum keluarkan kenyataan
KLUANG ―
Dakwaan kadar makanan sehari di sekolah berasrama penuh (SBP) dikurangkan
adalah tidak benar.
Menafikan perkara tersebut, Menteri Pendidikan Dr Maszlee
Malik berkata kadar makanan sehari di SBP masih kekal.
“Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia akan keluarkan
kenyataan petang ini menafikan dakwaan atau fitnah tersebut.
Loading...
“(Dan) saya berharap supaya Datuk Seri Najib Tun Razak
melakukan ‘homework’ sebelum keluarkan kenyataan,” katanya kepada pemberita
selepas melancarkan program Ziarah Cakna di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku
Abdul Jalil, dekat sini, hari ini.
Maszlee secara sinis turut ‘mempelawa’ bekas Perdana Menteri
itu untuk menggunakan masa yang terluang kini dengan mengajar murid-murid
terutama di kawasan pedalaman.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Najib
menerusi akaun Twitter miliknya yang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan telah
mengurangkan kadar makanan tersebut daripada RM18 kepada RM14.50 sehari.
Sementara itu, Maszlee berharap agar program Ziarah Cakna
berupaya mengembalikan imej guru sebagai adiwira kepada anak-anak murid, ibu
bapa serta masyarakat sekitar.
“Diharapkan dengan Ziarah Cakna seperti ini akan menjadikan
guru dilihat sebagai superhero. Dulu perkara ini berlaku di kawasan kampung,
perumahan, guru di mana sahaja dilihat sebagai hero. Ibu bapa hormat,
masyarakat hormat, cikgu sendiri dilihat sebagai orang yang dihormati, kita
ingin kembalikan,” katanya.
Program Ziarah Cakna juga bertujuan untuk memperluaskan
konsep sekolah penyayang dan memperkukuh hubungan antara sekolah dan ibu bapa
serta penjaga.
Program yang melibatkan 143 pejabat pendidikan daerah (PPD)
seluruh negara, dijangka berlangsung sepanjang tahun ini. ― Bernama
Maszlee jawab Najib: Tidak benar belanja makanan SBP dipotong, suruh Najib buat homework sebelum keluarkan kenyataan
Reviewed by Faceless
on
21:46
Rating:

No comments: