KUALA LIPIS — Pakatan Harapan nafi dakwaan ‘membeli’
undi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands seperti mana beberapa
keping gambar yang tular di media sosial.
Loading...
Sebaliknya, Penolong Ketua Pusat Operasi PH Jelai, Arvind
Bharet berkata gambar berkenaan adalah gambar pegawai PH membuat bayaran balik
kos petrol kepada sukarelawannya yang datang menaiki motosikal sendiri dari
kawasan pedalaman ke Tanah Rata pada hari penamaan calon PRK berkenaan, pada
Sabtu.
“Pembayaran balik ini akan diisytiharkan sebagai sebahagian
daripada perbelanjaan pilihan raya.
“Kesemuanya dilaksanakan mengikut lunas undang-undang,”
katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Hari ini seorang anggota Pemuda MIC membuat laporan polis
berhubung pemberian wang oleh PH seperti yang ditularkan dalam media sosial dan
meminta polis menyiasat sama ada calon PH melakukan kesalahan pilihan raya.
Terdahulu, mengulas mengenai isu sama, Timbalan Menteri
Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith berkata Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia kini antara lain sedang mengenal pasti pemilik akaun yang
menyebarkan gambar berkenaan.
PRK berkenaan yang diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya
pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada
BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi Parlimen itu terbatal dan tidak
sah, menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan dan
Barisan Nasional serta dua calon bebas.
Calon-calon itu ialah Timbalan Pengerusi DAP Pahang M.
Manogaran, 60, mewakili PH, bekas pegawai kanan polis Mohd Ramli Nor, 61 (BN)
dan bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib, 61 serta
petani Wong Seng Yee, 40, masing-masing sebagai calon Bebas.
Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron
Highlands dalam pertandingan lima penjuru dengan memperoleh 10,307 undi
menewaskan Manogaran yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS/3,587
undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa/81 undi) dan B. Suresh Kumar daripada Parti
Sosialis Malaysia (PSM/ 680 undi). —Bernama
PH nafi beli undi, cuma bayar duit minyak sukarelawan
Reviewed by Me
on
04:32
Rating:
No comments: