TUARAN — Polis Sabah menembak mati seorang lelaki
yang menjadikan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sebagai tawanan di
sebuah apartmen di Telipok, dekat sini petang tadi.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata tindakan
itu diambil selepas suspek cuba mencampak kanak-kanak tersebut dari tingkap
dapur sebuah unit di tingkat empat pangsapuri berkenaan kira-kira 6 petang
tadi.
Loading...
Mengulas kejadian itu kepada pemberita di lokasi kejadian,
Omar berkata terdahulu polis menerima laporan seorang kanak-kanak perempuan
diculik seorang lelaki tidak dikenali pada 4 petang.
“Di tingkat empat blok apartmen ini ada sebuah gerai dan
suspek pergi ke gerai itu sebelum secara tiba-tiba mengeluarkan pisau dan
menangkap kanak-kanak tersebut yang berada di luar gerai dan mengurungnya di
unit rumah tersebut,” katanya.
Katanya suspek yang dianggar berusia 30-an sebelum itu
mengarahkan penghuni unit berkenaan keluar dari rumah.
“Selepas menerima laporan itu, polis bergegas ke lokasi
kejadian dan cuba berunding dengan suspek agar melepaskan kanak-kanak tersebut
namun suspek terus meletakkan pisau di leher kanak-kanak berkenaan sehingga
menyebabkan luka.
“Suspek kemudian cuba mencampak kanak-kanak itu dan polis
terpaksa mengambil tindakan melepaskan beberapa das tembakan ke arah lelaki
berkenaan,” katanya, menambah polis mengambil masa kira-kira dua jam berunding
dengan suspek.
Menurut Omar suspek maut di tempat kejadian sementara
kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Likas untuk rawatan lanjut.
Katanya pemeriksaan awal polis tidak menemukan sebarang
dokumen pengenalan diri pada tubuh suspek dan lelaki itu juga dipercayai bukan
penduduk di kawasan berkenaan.
Omar tidak menolak kemungkinan suspek mengalami masalah
mental berikutan dia tidak membuat sebarang ugutan mahupun tuntutan ketika
diminta melepaskan kanak-kanak tersebut dan menyerah diri.
Polis akan menyiasat motif kejadian dan kes disiasat menurut
Seksyen 307 Kanun Keseksaan, katanya.
Sementara itu, nenek kanak-kanak tersebut Sharmala Mohd
Akhir menafikan kejadian berpunca daripada dendam.
“Kami tidak kenal langsung dan tidak pernah nampak lelaki
itu,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Malah katanya, dia hanya tahu cucunya diculik dan dijadikan
tawanan selepas berlaku kekecohan di kawasan itu.
Ibu saudara kanak-kanak itu Nor Fatihah Nasir pula berkata
ketika kejadian, ibu kanak-kanak
tersebut berada di dalam rumah.
“Si ibu hanya tahu anak diculik selepas diberitahu oleh
jiran,” katanya. — Bernama
Polis tembak mati lelaki ugut campak budak dari tingkat empat
Reviewed by Me
on
04:36
Rating:
No comments: