Foto Bernama
Tun Dr Mahathir Mohamad selamat tiba untuk lawatan
kerja dua hari ke Senegal bagi menyertai Persidangan Antarabangsa Kemunculan
Afrika Ke-III (ICEA-III) yang bermula hari ni.
Ketibaan Perdana Menteri yang diiringi isteri, Tun Dr Siti
Hasmah Mohd Ali di Lapangan Leopold Sedar Senghor di sini, jam 5.30 petang
waktu tempatan (jam 1.30 pagi di Malaysia) disambut oleh Presiden Senegal,
Macky Sall.
Loading...
Sambutan oleh ketua kerajaan republik ini adalah satu
penghormatan kepada Dr Mahathir, pemimpin negara yang dihormati dan dikagumi
pemimpin Afrika.
Turut menyambut ketibaan Perdana Menteri adalah Timbalan
Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya; Duta Besar Malaysia ke Senegal, Dr Shazelina
Zainul Abidin serta pegawai Pejabat Perdana Menteri dan Wisma Putra.
Dr Mahathir bersama delegasi Malaysia kemudian ke Istana
Presiden bagi mengadakan mesyuarat dua hala dengan Sall.
Menurut laporan Berita Harian lagi, ini adalah lawatan pertama Dr Mahathir ke Senegal dalam tempoh 27
tahun. Kali terakhir Perdana Menteri mengunjungi republik ini pada 1992 ketika
menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 15.
Dr Mahathir adalah satu-satunya ketua kerajaan dari luar
Afrika yang diberi penghormatan untuk berkongsi pengalaman serta kejayaan
membangunkan Malaysia hingga menjadi sebuah negara yang tersohor di arena
antarabangsa pada ICEA-III.
Persidangan yang bertemakan "Kemunculan, Sektor Swasta
dan Ketrangkuman" akan memberi fokus kepada usaha mempromosi dan
mengukuhkan peranan sektor swasta dalam pelan pembangunan Afrika.
Malaysia dan Senegal yang menjalin hubungan diplomatik
selama 33 tahun, sudah membentuk kerjasama dalam pelbagai bidang seperti
perdagangan dan pelaburan.
Nilai perdagangan antara Malaysia dan Senegal pada 2017
adalah berjumlah RM372.6 juta dengan nilai eksport negara sebanyak RM364.5 juta
dan nilai import dari Senegal sebanyak RM8.1 juta
Komponen eksport Malaysia ke Senegal merangkumi kelapa sawit
dan produk berasaskan kelapa sawit, produk pertanian dan makanan, manakala
komponen import dari Senegal merangkumi produk kapas, baja dan mineral, bahan
dan produk kimia serta bahan berasaskan besi.
Presiden Senegal sambut sendiri ketibaan Dr Mahathir
Reviewed by Faceless
on
18:28
Rating:
No comments: