Foto The Star
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong
menyifatkan ura-ura akan ada undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Dr
Mahathir Mohamad pada sesi Parlimen yang akan bermula 11 Mac ini, sebagai
agenda politik pembangkang yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat.
Menurut beliau, senarai '101 anggota Parlimen yang menyokong
perdana menteri meletak jawatan' yang tular di media sosial itu juga hanya satu
spekulasi untuk mengelirukan rakyat serta menjatuhkan moral dan imej kerajaan
Pakatan Harapan (PH).
Loading...
Liew yang dihubungi Bernama berkata beliau yakin tiada usul
undi tidak percaya yang akan dikemukakan oleh mana-mana pihak dalam Dewan
Rakyat terhadap Dr Mahathir yang telah diberikan mandat sepenuhnya oleh rakyat
pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu untuk menerajui kerajaan PH.
"Saya yakin semua Anggota Parlimen daripada PH termasuk
Anggota Parlimen Warisan yang berjumlah 135 orang daripada keseluruhan 222
Anggota Parlimen, akan terus memberi sokongan penuh kepada Dr Mahathir sebagai
perdana menteri kita," katanya.
Baru-baru ini tular senarai 101 Anggota Parlimen dari
seluruh negeri yang didakwa akan menyokong desakan undi tidak percaya terhadap
Dr Mahathir.
Menjelaskan mengenai usul tidak percaya, Liew yang merupakan
Anggota Parlimen Batu Sapi berkata sekiranya ada yang mengemukakan usul
berkenaan, maka terpulang kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk
mempertimbangkan sama ada usul itu diterima atau tidak untuk dibahaskan dalam
Dewan.
"Sekiranya usul tersebut diterima oleh pihak Parlimen
mengikut peruntukan dalam Standing Orders (Peraturan Mesyuarat) Dewan Rakyat,
Speaker akan menyuruh Anggota Parlimen untuk berbahas dan selepas itu
undi," katanya.
Perlembagaan Persekutuan Perkara 43 (4) memperuntukkan, jika
seseorang Perdana Menteri itu tidak lagi mendapat sokongan majoriti daripada
Anggota Parlimen, beliau perlu meletak jawatan, melainkan jika atas
permintaannya, Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.
Persidangan Dewan Rakyat akan bersidang untuk pertama kali
tahun ini bermula 11 Mac sehingga 11 April.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah dijadualkan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat
Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14 pada 11 Mac ini.
- Bernama
Senarai tular undi tidak percaya pada PM hanya agenda politik pembangkang - Liew
Reviewed by Faceless
on
19:04
Rating:
No comments: