BALING - Kerajaan meluluskan peruntukan
RM338 juta untuk pelaksanaan Program Pembangunan Pihak Berkuasa Kemajuan
Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) tahun ini, yang akan memberi manfaat
kepada 552,543 pekebun kecil di seluruh negara.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
berkata peruntukan itu merangkumi Program Tanam Semula Getah, Prasarana Asas
Pertanian, Aktiviti Ekonomi Tambahan dan Keusahawanan, Skim Insentif
Produktiviti Getah, Khidmat Pengembangan dan Latihan Pekebun Kecil.
Loading...
"Daripada jumlah ini, kerajaan memberikan RM37 juta
kepada pekebun kecil (RISDA) Kedah," katanya ketika berucap pada Malis
Aspirasi Ekonomi Pekebun Kecil di Padang Awam Kampung Lalang dekat sini hari
ini.
Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr
Mahathir.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata kerajaan memberikan
sejumlah RM1.5 juta untuk bantuan Prasarana Asas Pertanian di Kedah manakala
RM3.5 juta bagi Skim Insentif Produktiviti Getah serta Program Peningkatan
Produktiviti Getah di negeri ini.
"Tujuan turun ke Baling (ini) mencerminkan kesungguhan
kerajaaan negeri dan kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir
Mohamad. Kerajaan komited, kita bersungguh-sungguh ikhlas membantu membina masa
depan lebih selamat dan terjamin bagi warga pekebun kecil.
"Datuk Seri Mukhriz telah mencerakinkan tentang betapa
pentingnya warga pekebun kecil bukan saja di Baling, Kedah ini tetapi seluruh
negara. Pekebun-pekebun kecil ini membanting tulang, bekerja dengan gigih dan
kuat menyumbang kepada ekonomi negara.
"Di Kedah sahaja terdapat 73,642 pekebun kecil meliputi
kawasan seluas 112,000 hektar tanah diusahakan untuk industri getah ini,"
katanya sambil menambah, kerajaan akan memastikan masa hadapan peneroka dan
pekebun kecil di negara ini tidak terbeban dengan kejatuhan harga komoditi.
Sementara itu, Mohamed Azmin berkata RISDA bersedia membuka
kaunter khas dengan kadar segera bagi membantu pekebun kecil membuat tuntutan
Insentif Pengeluaran Getah (IPG).
"...masalah dihadapi pekebun kecil adalah antaranya
masalah birokrasi tuntutan IPG. Kita sedia maklum RISDA wujud di setiap daerah
dan negeri, tetapi LGM (Lembaga Getah Malaysia) tidak ada struktur sama.
"Maka pekebun kecil kena lalui satu proses yang amat
sulit untuk membuat tuntutan kepada LGM. Saya telah berbincang dengan Datuk
Ketua Pengarah RISDA sebentar tadi (yang) RISDA berlapang dada dan bersedia
untuk segera membuka kaunter khas membantu pekebun kecil di setiap pejabat,
stesen dan mukim membantu pekebun kecil membuat tuntutan," katanya.
Selain itu, beliau juga akan mencadangkan kepada LGM supaya
Jawatankuasa Perakuan dan Penilaian Harga Getah mesti dianggotai wakil pekebun
kecil dalam jawatankuasa berkenaan, kerana golongan itu mempunyai hak
mengetahui mekanisme yang diguna pakai, menentukan kadar diskaun proses
Kandungan Getah Basah kepada Kandungan Getah Kering.
"Pada masa yang sama, kita juga dimaklumkan bahawa
pekebun-pekebun kecil ini menghadapi masalah kerana apabila proses Kandungan
Getah Basah kepada Kandungan Getah Kering, pelbagai diskaun, kadar yang
ditentukan oleh pekilang-pekilang, ini tidak adil kepada pekebun-pekebun kecil,
ada memberi diskaun yang kecil, ada yang memberi diskaun besar.
"Esok saya akan menghubungi LGM dan mencadangkan supaya
perkara ini diberikan pertimbangan segera, supaya pekebun-pekebun kecil
mempunyai suara dalam jawatankuasa tersebut bagi membela nasib pekebun-pekebun
kecil," katanya. - BERNAMA
Kerajaan lulus RM338 juta bantu pekebun kecil seluruh negara
Reviewed by Faceless
on
20:55
Rating:
No comments: