KUALA LUMPUR — Timbalan Perdana Menteri Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merakamkan ucapan takziah kepada keluarga
Muhammad Haziq Mohd Tarmizi yang disahkan antara 50 orang yang terbunuh dalam
tragedi tembakan rambang di Christchurch, Jumaat lepas.
Dr Wan Azizah mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan
dalam kalangan orang beriman dan kekuatan buat keluarga Allahyarham.
Loading...
“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Cukup pilu mendapat
berita Muhammad Haziq Mohd Tarmizi yang disahkan maut dalam kejadian keganasan
di Christchurch, New Zealand,” katanya menerusi catatan di laman Twitternya
hari ini.
Kementerian Luar awal pagi ini mengesahkan bahawa Muhammad
Haziq, 17, terbunuh manakala bapa
Muhammad Haziq, Mohd Tarmizi Shuib juga cedera dalam serangan itu dan menerima
rawatan . Dua lagi rakyat Malaysia yang
cedera ialah Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad.
Turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian beliau ialah
Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah yang turut mendoakan semoga roh
Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para Nabi, syuhada dan golongan beriman.
“Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Takziah diucapkan kepada
keluarga Allahyarham Muhammad Haziq Bin Mohd Tarmizi. Bersama kita doakan agar
Allah hujani segala rahmat dan keberkatan ke atas roh beliau seterusnya
ditempatkan kalangan para Nabi, syuhada, dan golongan orang beriman,” kata beliau
menerusi Twitternya.
Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed
Azmin Ali dalam ucapan takziahnya
mendoakan Allahyarham mendapat husnul khatimah dan rohnya ditempatkan di
syurga yang penuh nikmat Allah SWT.
Mohamed Azmin melalui catatan di Twitternya: “Seluruh rakyat
Malaysia amat sedih dan berdukacita di atas pengesahan bahawa adik Muhammad
Haziq Mohd Tarmizi telah terkorban dalam tragedi Christchurch tempoh hari.
“Saya berdoa semoga Allahyarham (Muhammad) Haziq mendapat
husnul khatimah dan dikurniakan ganjaran syahid oleh Allah SWT. Semoga keluarga
Allahyarham tabah & sabar menghadapi dugaan ini,” katanya.
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dalam utusan takziah di
akaun Twitternya: “Salam takziah buat keluarga Allahyarham Muhammad Haziq yang
terkorban dalam tragedi Christchurch. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan
ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al Fatihah.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng menerusi catatan Twitternya
juga menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Haziq.
“Takziah kepada keluarga Allahyarham (Muhammad) Haziq
Tarmizi yang disahkan meninggal dunia di Christchurch,” kata Lim. — Bernama
TPM, pemimpin kerajaan ucap takziah kepada keluarga Haziq
Reviewed by Faceless
on
20:58
Rating:
No comments: