Tiga anggota parlimen beri laluan pada Anwar



Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang mempertimbangkan untuk bertanding satu daripada tiga kerusi Parlimen sama ada di bahagian utara, tengah atau selatan tanah air bagi membolehkan beliau kembali ke Parlimen.

Tanpa menamakan kawasan tersebut, Anwar menjelaskan keputusan akan dibuat dalam masa terdekat.

“Tiga kawasan ini masing-masing di negeri utara, tengah dan selatan telah menawarkan kerusi mereka kepada saya dan kawasan ini adalah kawasan yang kita kena kerja kuat.

“Saya sedang menimbangkan perkara ini dan akan diumumkan dalam masa sehari dua lagi,” katanya kepada pemberita pada majlis Amanat Reformasi bersempena ulang tahun ke-20 bersama pimpinan dan anggota PKR Negeri Sembilan di Tampin, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun yang juga Pengerusi PKR Negeri Sembilan.

Anwar berkata beliau mahu bertanding kerusi Parlimen bagi membolehkan beliau kembali semula ke Parlimen dan menjaga Parlimen serta anggota parti di samping untuk membantu isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Wan Azizah dahulu jadi Presiden masa tubuh parti tahun 1999, waktu itu nak dapat dewan pun susah dan nak dapat duit pun susah.

“Tetapi sekarang sudah senang sikit sebab dalam Parlimen dah jadi suara terbesar, jangan ada yang rasa sombong, ada yang rasa dia boleh guna kuasa sewenang-wenangnya dan semua ini kita harus awasi supaya kita tidak ulang lagi,” katanya.

Semalam, dalam siri jelajah Amanat Reformasi di Sarawak, Anwar mengetepikan kemungkinan akan bertanding kerusi Parlimen Pandan yang kini disandang isterinya atau kerusi Parlimen Permatang Pauh, yang pernah beliau duduki dan kini diwakili anak beliau, Nurul Izzah.

- Bernama
Tiga anggota parlimen beri laluan pada Anwar Tiga anggota parlimen beri laluan pada Anwar Reviewed by Faceless on 06:39 Rating: 5

No comments:

Loading...
loading...
Powered by Blogger.