oleh Shahbudin Husin
Gunalah apa jua hujah, alasan atau helah, realiti yang
paling mudah untuk difahami ialah Pas tidak menang di Seri Setia dan MCA pula
kalah di Balakong.
Di Seri Setia, Halimey Abu Bakar yang mewakili PH berjaya
menewaskan calon Pas, Dr. Halimah Ali dengan majoriti 4,027 undi.
Dibantu oleh jentera dan kehadiran kempen oleh
pemimpin-pemimpin utama UMNO yang sejak awal memutuskan tidak meletak calon
bagi memberi sokongan kepada Pas, gandingan kerjasama itu terbukti gagal
menggamit selera dan hati para pengundi di Seri Setia.
Di Balakong, calon PH, Wong Siew Ki berjaya mengekalkan
penguasaan di kawasan itu menewaskan calon MCA, Tan Chee Teong dengan kelebihan
18,533 undi.
Meskipun MCA menggunakan simbol sendiri dan tidak logo BN,
disertai bantuan Pas yang tidak meletakkan calon serta turut berkempen di
Balakong dengan hasrat besarnya agar PH
dapat dikalahkan, ia juga terbukti gagal mengubah selera rakyat yang baru saja
pada PRU14 lalu membuat keputusan menyingkirkan Najib Razak serta BN daripada
persada kuasa.
Diambil kira dengan keputusan pilihanraya kecil Sungai
Kandis sebelum ini di mana calon PKR yang mewakili PH, Mohd Zawawi Ahmad Mughni
berjaya mengekalkan kemenangan di kawasan itu dengan menewaskan calon UMNO,
Lokman Noor Adam dengan majoriti 5,842 undi, terbuktilah juga bahawa sudah tiga
pilihanraya kecil menunjukkkan kegagalan kepada
kerjasama UMNO dan Pas.
Di Sungai Kandis di mana UMNO bertanding, Pas tidak
meletakkan calonnya, sementara di Seri Setia di mana Pas bertanding, UMNO pula
tidak bertanding. Di Balakong, oleh kerana MCA yang bertanding adalah rakan
UMNO, Pas bukan saja memutuskan tidak meletakkan calon, bahkan turut sama
berkempen untuk parti Cina itu.
Dari segi bacaan mudahnya, tidak kira sama ada peratusan
yang keluar mengundi menurun atau sebaliknya, hubungan "cinta gelap",
apalagi jika berlaku "perkahwinan"
antara UMNO dan Pas, ia bukanlah tarikan yang boleh mempengaruhi selera
pengundi.
Malah, jika peratusan yang keluar mengundi lebih meningkat,
bermakna majoriti kemenangan PH di ketiga-tiga kawasan itu juga akan menjadi
lebih tinggi lagi.
Meskipun dari segi keahlian, memang diakui UMNO dan Pas
adalah parti yang berada di kedudukan nombor satu dan kedua terbesar, imej
buruk kedua-dua parti itu ternyata lebih besar sebagai halangan untuk diterima
baik oleh pengundi.
UMNO dengan perjuangan bangsa yang ekstrem dan melampau,
lebih-lebih lagi sejak kehilangan kuasa, sementara Pas yang tidak menentu serta
berubah-ubah konsep Islamnya, bahkan pendirian parti itu akan berubah setiap
kali sama ada sebelum atau selepas pilihanraya umum, ia adalah fakta yang
membuatkan kedua-duanya semakin ditolak rakyat.
Selagi UMNO dan Pas tidak berubah dan tidak keluar daripada
kepompong itu, selagi itulah mereka akan terus ditolak oleh rakyat yang semakin
cerdik dan bermaklumat sekarang ini.
Dari segi teori, oleh kerana dalam pilihanraya umum lalu
berlaku pertandingan tiga penjuru dan sekarang UMNO dan Pas saling bekerjasama
yang membuatkan berlakunya penggabungan undi kedua-dua parti, sepatutnya tiada
masalah untuk mereka mencipta kejayaan.
Malangnya sehingga ini semua itu langsung tidak berlaku. Apa
yang berlaku ialah kerjasama UMNO dan Pas itu membuatkan wujud kelompok dalaman
daripada parti masing-masing yang saling menjauhkan diri kerana tidak tiada
kepercayaan antara satu sama lain.
Di sebalik pemimpin atasan UMNO dan Pas saling bermesra,
bercanda dan sering muncul di pentas yang sama, pengikut bawahan sebenarnya
lebih ramai yang meluat dan menyampah dengan sandiwara itu.
Berhadapan realiti itu, untuk menarik hati pengundi dan
seterusnya menang dalam pilihanraya akan datang, kerjasama UMNO dan Pas
semata-mata tidak memadai untuk berlawan dengan PH yang di dalamnya ada PKR,
DAP, Amanah dan Bersatu.
Walaupun dari segi keahlian, keempat-empat parti tersebut
tidak begitu besar jumlah keahliannya, faktor utama yang menyebabkan rakyat
tertarik ialah tentang perjuangan dan hala tuju sederhana semua parti tersebut.
Apa perjuangan UMNO dan Pas?
Lagi-lagi sentimen bangsa dan agama yang dimainkan, tetapi
selalunya UMNO dan Pas tidak begitu berperanan secara mendalam atau mendetail
dalam isu-isu skandal, pentadbiran, ketelusan dan amanah yang melibatkan dana
rakyat.
Hanya setelah tiada kuasa ini barulah terlihat para pemimpin
UMNO, termasuk Najib sendiri cuba memulakan langkah ke arah itu, tetapi
malangnya di tubuh mereka sendiri ada palitan skandal yang lebih besar lagi
majalnya.
Setelah hilang kuasa dan kemudian kalah dalam tiga
pilihanraya kecil setakat ini, perjalanan pembangkang, meskipun melalui
kerjasama UMNO dan Pas, ia sebenarnya masih jauh untuk membawa mereka mampu
menumbangkan PH.
Yang barangkali tidak disedari, kerjasama UMNO dan Pas hanya
akan mewujudkan bayangan kuasa Melayu yang ekstrem dan melampau yang bukan saja
ditolak oleh orang Melayu sendiri, bahkan lebih menakutkan kepada
pengundi-pengundi bukan Melayu.
Secara tidak langsung, kuasa Melayu ekstrem dan melampau
yang terbentuk melalui kerjasama UMNO dan Pas sekarang akan menyebabkan MCA dan
MIC, dua daripada tiga komponen yang masih tinggal dalam BN, akan terus
terkulai dan mati dengan sendirinya.
Keputusan lebih buruk yang diterima MCA di Balakong adalah
bukti kehadiran Pas bersama UMNO dan membantu kempen calon komponen BN itu
telah ditolak mentah-mentah oleh pengundi bukan Melayu.
Tanpa sokongan bukan Melayu, bagaimana UMNO dan Pas mahu
mentadbir Malaysia?
Kerjasama UMNO - PAS Terbukti gagal, malah menakutkan pengundi bukan Melayu!
Reviewed by Faceless
on
06:37
Rating:
No comments: