Kementerian Wilayah Persekutuan akan mendedahkan perincian
mengenai penyelewengan dan salah guna kuasa yang didakwa berlaku dalam isu
pembinaan bangunan di atas tanah kerajaan persekutuan minggu depan.
Menterinya Khalid Abdul Samad bagaimanapun enggan mengulas
lanjut perkara itu dan sebaliknya meminta orang ramai menunggu pendedahan kes
tersebut yang dikesan pihaknya sebulan lepas.
Loading...
Beliau berkata siasatan pihaknya antara lain mengesan
terdapat kebenaran merancang yang diluluskan untuk pembinaan seperti bangunan
pejabat di atas tanah kerajaan.
"Bagaimana boleh bina bangunan atas tanah kerajaan
menjadi kepelikan. Saya diberitahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telahpun
mengeluarkan notis mengosongkan bangunan (yang dibina atas tanah kerajaan).
"Sama ada robohkan ataupun tidak kita akan runding
dengan pihak yang membina," katanya ketika ditemui pemberita selepas
menghadiri Bicara Minda anjuran Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Media
Karangkraf,semalam.
Khalid juga berkata surat kebenaran untuk mendirikan
pembangunan di atas tanah kerajaan pusat tidak ditandatangani oleh Datuk Bandar
Kuala Lumpur sebaliknya oleh pegawai di jabatan yang berkenaan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementerian akan
meneruskan projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (RoL) iaitu projek
cetusan idea pimpinan kerajaan Barisan Nasional terdahulu bagi memastikan
kebersihan sungai di ibu kota.
Beliau berkata pihaknya akan meningkatkan pelaksanaannya
berbanding perancangan asal projek berkenaan ketika kepimpinan kerajaan
terdahulu.
"Kita teruskan Projek River of Life. Kita kena teruskan
sebab RM3 bilion sudah digunakan," katanya. Khalid juga berkata pihaknya
sedang merangka draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2040 yang memfokuskan kepada
pembangunan berkonsepkan pengangkutan awam.
Katanya draf itu yang dijangka siap tahun ini dibuat
berasaskan draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020. - Bernama
Penyelewengan tanah k'jaan persekutuan akan didedahkan minggu depan
Reviewed by Faceless
on
18:03
Rating:
No comments: