Dakwaan Terlibat Kes Tuntutan UMNO, Ini Jawapan Tan Sri Dzulkifli



KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad menafikan pembabitan beliau di dalam bidang guaman semula semata-mata untuk membantu menyelesaikan kes tuntutan yang melibatkan UMNO.

Katanya, beliau mengemukakan permohonan untuk mendapatkan sijil tersebut sebelum Hari Raya Aidilfitri, sekali gus menafikan dakwaan beliau membantu menyelesaikan kes tuntutan yang melibatkan UMNO.

“Saya membuat permohonan mendapatkan sijil tersebut sudah lama kerana ingin kembali aktif sebagai peguam, jadi secara kebetulan saya dikaitkan dengan firma berkenaan,” katanya yang pernah diterima menjadi peguambela sejak April 1993.

Sebuah portal tempatan hari ini melaporkan, Dzulkifli menjadi peguam di Scivetti & Associates bagi mendapatkan semula RM116.7 juta iaitu wang yang dirampas polis kerana berkaitan dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dzulkifli menjelaskan beliau berhasrat untuk membuka sebuah firma guaman dalam tempoh terdekat.

Katanya, beliau sedang berusaha untuk merealisasikan hasrat tersebut selepas berjaya mendapat Sijil Amalan Guaman melalui firma guaman, Scivetti & Associates pada 9 Julai lalu.

“Sebenarnya saya hanya menjadi peguam dan anggota firma tersebut untuk tempoh sementara kerana selepas ini, saya membuka firma guaman sendiri dan bersedia menerima apa-apa sahaja kes,” katanya.

Sepatutnya, Dzulkifli mengetuai SPRM sejak 1 Ogos 2016 hingga 31 Julai 2021 tetapi telah bersara awal pada 8 Jun lalu selepas diarahkan bertugas di Pejabat Peguam Negara.

Antara pengalaman Dzulkifli adalah berkhidmat sebagai Pengarah Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Hasil Negara, Ketua Unit Jenayah Perdagangan dan Ketua Unit Perlucutan Harta dan Pengubahan Wang Haram di Jabatan Peguam Negara.

- UTUSAN ONLINE
Dakwaan Terlibat Kes Tuntutan UMNO, Ini Jawapan Tan Sri Dzulkifli Dakwaan Terlibat Kes Tuntutan UMNO, Ini Jawapan Tan Sri Dzulkifli Reviewed by Faceless on 00:34 Rating: 5

No comments:

Loading...
loading...
Powered by Blogger.