Tun Dr Mahathir Bin Mohamad Perdana Menteri Malaysia ke-7
ketika diwawancara penulis Hishamuddin Rais seorang aktivis politik terkenal. –
Foto Radio Bangsar Utama
oleh Hishamuddin Rais
Dalam dewan hotel di Petaling Jaya keadaan sibuk, sibuk,
sibuk. Ada tiga ruang. Satu untuk pucuk pimpinan. Satu dewan tengah yang luas
untuk para YB dan penyokong.
Di sini juga dijadikan dewan makan untuk minum teh dan kopi.
Satu lagi dewan – kecil sedikit daripada dewan makan – dengan terpampang skrin
besar untuk menonton keputusan PRU14.
Saya mundar-mandir. Dari skrin itu saya perhatikan saluran
televisyen kerap dialih-alih kerana ramai kurang sabar menunggu keputusan.
Ketika itu sabar bukan komoditi yang laris.
Apabila saja diumumkan keputusan saya terdengar sorak
gegak-gempita. Ertinya calon Pakatan Harapan telah menang. Kira-kira jam 10
malam semakin jelas Pakatan Harapan ialah kerajaan baru. United Malays National
Organisation, Najib dan Rosmah telah lingkup.
Saya amat yakin ketika itu para gedebe dan malaon di RTM
atau TV3 pasti hilang pedoman. Tidak tahu apa yang wajib diumumkan di kaca
televisyen. Pengerusi SPR hilang dari skrin televisyen.
Semua ‘gumbira’
Penasihat Najib pasti gelabah. Ini berbeza dengan suasana
kami di hotel di Petaling Jaya itu. Kami semua terseringai senyum melihat
televisyen. Kami terus bersalaman sesama sendiri. Entah siapa yang saya salami
saya pun tidak kenal tetapi hakikatnya – semua gumbira.
Di ruang tempat terletak skrin besar televisyen itu,
terdapat ramai pekerja parti dengan komputer. Mereka sedang menerima keputusan
dari sana-sini melalui komputer.
Teknologi oh teknologi. Semua pantas dan tuntas. Hanya
keputusan dari Sabah dan Sarawak agak lambat dan samar.
Saya berlegar sambil mengambil gambar. Dalam fikrah saya –
ini adalah detik-detik yang sama seperti Sepuluh Hari Mengoncang Dunia –
tulisan John Reed tentang Revolusi Bolshevik 1917.
Tapi ada beza. Di Moscow Oktober 1917 sejuk dan lapar. Di
dewan hotel ini pada 9 Mei 2018 suhu enak dan makanan melimpah.
Untuk para wartawan dan pengamal media mereka menunggu dalam
dewan dan tingkat yang lain.
Awal petang Rabu 9 Mei 2018 saya telah memastikan lori besar
bersama skrin telah di pasang betul-betul di Padang Timur di hadapan Amcorp
Mall. Semua sistem pembesar suara teratur.
Lewat petang orang ramai – penyokong Pakatan Harapan – telah
mula datang ke Padang Timur. Di padang itu, saya tauliahkan kepada dua sosok
anak muda yang amat saya yakini kerja dan tugas politik mereka. Seorang bernama
Jonah dan seorang lagi bernama Kecik.
Dalam budaya gerakan kiri atau dalam perjuangan angkat
senjata, nama samaran wajib digunakan. Justeru dunia hanya mengenal nama Che,
Tito, Amado Guerrero, Abu Ammar atau Abu Nidal.
Di belakang nama samaran ini ada nama asli yang lain. Ini
dilakukan untuk keselamatan. Tapi sekarang dengan kerajaan baru – saya rasa
kita semua sudah selamat – maka nama dua anak muda ini boleh diumumkan.
Surat ke Istana Negara
Jonah ialah Khairul Anuar Ahmad Zainudin dan Kecik ialah
Fiqtriey Al-Hakimiey. Mereka berdua ini terlatih dari Universiti Bangsar Utama.
Mereka memainkan peranan yang penting dalam detik-detik peralihan kuasa ini.
Delegasi ke Istana Negara telah bergerak. Mereka membawa
surat yang akan disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Isi surat ini jelas – menobatkan Mahathir Mohamad sebagai
Perdana Menteri ketujuh dan Dr Wan Azizah sebagai Timbalannya. Surat ini telah
ditanda tangani oleh Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu, Dr Wan Azizah dan Tan Kok
Wai.
Kami di dewan hotel menunggu. Masa berjalan melintasi jam 11.
Berita sampai mengatakan bahawa Agong masih belum muncul. Bah! Ke mana pulak
Agong ini hilang.
Mustahil Agong boleh meleser ke Chow Kit. Apa pula yang
hendak dicari oleh Yang di-Pertuan Agong kita jika ke Chow Kit malam-malam buta
ini.
Lewat malam yang berkeliaran di Chow Kit pastilah Mat Pet.
Mustahil Agong ke sana. Baginda pasti berada di Istana Negara. Hakikatnya
berita yang mengatakan Agong tidak ada dalam istana pasti berita palsu.
Berita lek lok dari Istana Negara ini menimbulkan suasana
tegang antara kami-kami di hotel. Persoalan hakiki timbul lagi.
Apakah Najib akan menggunakan Majlis Keselamatan Negara?
Apakah Najib akan menggunakan Sosma? Saya yakin bukan saya seorang sahaja yang
berfikrah sedemikian.
Awal-awal lagi Ketua Polis Negara Fuzi Harun telah
mengumumkan senarai lebih 3,000 sosok yang berpotensi menimbulkan huru hara
sesudah pengundian dijalankan.
Suasana menjadi tegang kerana wujud satu kumpulan orang
ramai dilaporkan sedang berhimpun di Putrajaya. Kawat-kawat berduri telah dipasang.
Mereka di Putrajaya terkeluar dari kawalan war room Pakatan
Harapan. Malah war room langsung tidak mengetahui siapa mereka ini. Dari mana
mereka datang? Siapa memimpin mereka?
Saya berlegar dan terserempak dengan Bro Sam. Sosok ini
adalah sosok penting yang memainkan peranan di belakang tabir. Sam tahu apa
yang sedang berlaku. Jika ada sosok yang ‘incognito’ bermain di belakang tabir
Sam-lah orangnya.
Saya mengenali Sam semenjak era Deklarasi Rakyat – satu
tahun yang lalu. Sam ini ialah sosok muda yang amat-amat diyakini oleh Tun Dr
Mahathir Muhamad.
Ketika kempen Jelajah berjalan saya terserampak dua kali
dengan Sam. Satu kali di Perak dan satu kali lagi di Melaka.
“Bro, macam mana sekarang?” Soalan yang amat luas dari saya
untuk memulakan labon.
“Kita dah menang,” jawab Sam ringkas dan jelas.
“Betul ke.. Najib nak gunakan NSC?” Tanya saya.
“Ada. Tapi gagal… dia panggil semua datang tapi IGP hantar
wakil,” kata Sam lagi.
“Hantar wakil. Biar betul? IGP hantar Tok Sarjan ke?” Kata
saya.
Dalam menerima berita gumbira ini saya sadurkan dengan
lawak. Kami sesama terbarai ketawa.
Ketua polis negara hanya hantar wakil. Ini adalah berita
baik. Ini bermakna elit politik telah pecah.
Ini sama seperti apa yang berlaku di Manila ketika rakyat
berdemo menghalau Marcos.
Leftenan General Fidel Ramos dan Menteri Petahanan Juan
Enrile enggan menghantar kereta kebal untuk membedil orang ramai yag sedang
berdemo di jalan raya.
“Betul ke ni?” Soal saya mahu kepastian daripada Sam.
Jika ini telah berlaku maka hari-hari akhir seekor Najib
semakin jelas. Lalu saya teringat kembali pertemuan war room kali terakhir
dengan Mahathir.
Bakal perdana menteri ketika itu menyebut satu nama yang
dianggap orang jahat. Nama yang disebut oleh Mahathir ialah Zulkifli. Siapa
malaon ini wallah hu alam bissawab tidaklah hamba mengetahui.
Tetapi daripada kata-kata Mahathir sosok ini ialah orang
jahat yang didakwa dibayar Najib untuk memastikan Najib dan Rosmah terus
berkuasa sesudah PRU14.
Apakah Zulkifli ini akan muncul? Nampaknya tidak. Amin.
Lewat jam 12 malam delegasi dari Istana Negara pulang. Dewan
gempar kerana tetiba beberapa jantan segak masuk dengan senjata di tangan.
Muka jantan jantan ini ketat-metat. Mereka tidak pula
memakai pakaian polis atau tentera.
Akhirnya saya diberitahu bahawa jantan-jantan ini ialah
suku-sakat Sirul dan Azilah. Kini mereka bertugas mengawal keselamatan bakal
perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Pada malam ini – pada awal pagi 10 Mei 2018 – Mahathir
Mohamad masih lagi bakal PM untuk kerajaan Pakatan Harapan. Delegasi ke Istana
Negara telah gagal. Tidak ada angkat sumpah malam itu.
Ada riwayat di belakang sejarah
Sebaik sahaja delagasi pulang dari Istana Negara satu sidang
akhbar telah diadakan. Sidang akhbar ini hanya mengumumkan bahawa esok sekali
lagi pemimpin Pakatan Harapan akan ke Istana Negara.
Tidak dijelaskan kenapa gagal dan apa terjadi di Istana
Negara.
Sebenarnya ada kisah di belakang kisah. Ada riwayat di
belakang sejarah. Ada fakta tersorok lagi terbenam. Apa yang berlaku malam itu
lebih licik daripada licik. Lebih jahat daripada jahat.
Maka ianya menjadi tugas saya untuk menggali dan mengumumkan
kepada orang ramai apa sebenarnya telah berlaku. Jika saya tidak menuliskan apa
yang telah berlaku maka saya mengkhianati perjuangan rakyat.
Jika saya menenggelami babak-babak dengan niat untuk
mendapat jawatan atau kedudukan maka saya bukan lagi sosok yang bernama
Hishamuddin Rais.
Hidup saya sebagai manusia telah sia-sia – hanya mengotorkan
oksigen sahaja. Zaleha Sidek dan Rais Manaf akan menolak saya sebagai anak
kandung jika saya tidak berani berkata benar.
Jika saya gagal menulis kebenaran maka saya adalah pembelot
dan pengkhianat terhadap cita-cita rakyat untuk mewujudkan agenda reformasi.
Jika saya belot maka Sang Kelembai wajib menyumpah saya agar
saya menjadi batu. Amin.
Perawi sahih
Babak-babak ini saya pungut daripada perawi sahih. Apa yang
berlaku pada malam itu datangnya daripada mulut Mohamad Sabu dan Dr Mahathir
Mohamad. Mereka berdua ini perawi saya.
“Apa jadi malam itu? Surat itu disampaikan atau tidak kepada
Agong? Surat yang dibawa oleh Wan Azizah?” Pertanyaan jelas daripada saya
kepada Mat Sabu satu minggu sesudah dia menjadi Menteri Pertahanan.
“Surat itu tidak dibincangkan. Tak buka pun surat itu. Agong
nak lantik Wan Azizah,” kata Mat Sabu
Dakwaan Agong mahu melantik Dr Wan Azizah Wan Ismail ini
diperkukuh oleh laporan kenyataan Anwar Ibrahim beberapa hari kemudian.
Bagaimana ini berlaku? Apa intrik dalaman ketika ini? Projek
siapa ini?
Pada Selasa 5 Jun 2018, saya telah bertanya perkara yang
sama kepada Dr Mahathir Mohamad.
“Tun, malam itu apa terjadi? Surat itu dibincangkan atau
tidak?” Soal saya.
“Agong ingin melantik Wan Azizah kerana dia ada majoriti.
Surat itu tidak pun dibincangkan. Terbengkalai di situ.” Ini kata Mahathir
kepada saya tuntas dan jelas.
Agong mahu lantik Azizah PM?
Agong ingin melantik Dr Wan Azizah? Surat tidak dibuka untuk
dibincang. Untuk saya ini pelik lagi menghairankan. Ini ajaib lagi halimunan.
Bagaimana dan kenapa ini berlaku?
‘Beta difahamkan parti Datuk Seri Wan Azizah telah mendapat
kerusi majoriti. Maka beta merasakan Datuk Seri boleh beta angkat untuk menjadi
Perdana Menteri’.
Ini isi bunyi kata-kata Agong pada malam itu yang
disampaikan kepada saya.
Maka babak ini menimbulkan persoalan hakiki. Persoalan yang
fudumental untuk sejarah bangsa kita. Soalan yang wajib kita semua tanya dan
bersama-sama mencari jawapan.
Amat jelas lantikan Mahathir Mohamad pada malam 9 Mei 2018
telah cuba disailang.
Pelantikan Mahathir telah digagalkan. Siapa punya projek
menyailang Mahathir. Soalan sejarah yang memerlukan jawapan yang jujur.
Jika benar babak ini, siapa bertanggungjawab mencucuk Agong
untuk menimbulkan soalan tersebut?
Saya amat yakin sabda Agong pada malam itu pasti puncanya
datang daripada orang lain. Siapa orang lain itu? Tunggu minggu hadapan.
HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan
pengarah filem. Artikel ini pandangan peribadi penulis yang pertama kali disiar
di kolumnya di Malaysiakini dan tidak semestinya mewakili BeritaHarian-Metro.
“Tun M, malam itu apa jadi? Surat dibincangkan atau tidak?”
Reviewed by Faceless
on
19:44
Rating:
No comments: