Najib mendakwa tidak tahu pegawai beliau Datuk Hasanah Ab
Majid menulis kepada Pengarah CIA Gina Haspel. Pengkritik sudah mula mendesak
pihak Polis di-Raja Malaysia melakukan siasatan terhadap surat CIA tersebut. –
Foto The Coverage
oleh Shahbudin Husin
Setelah beberapa hari sejak terdedahnya tentang sepucuk
surat yang ditulis oleh Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (sebenarnya
unit risikan untuk menjaga politik Najib Razak) kepada Pengarah CIA yang
bertujuan memohon sokongan jika BN menang tipis dalam PRU14 lalu, apa yang
menimbulkan tanda-tanya banyak pihak ialah apakah pihak polis sudah membuka
kertas siasatan mengenai perkara itu?
Jika dilihat berdasarkan kandungan surat tersebut, ia jelas
merupakan suatu percubaan mengundang campurtangan asing dalam hal ehwal politik
negara kita.
Mujurlah BN kalah dalam pilihanraya 9 Mei lalu, jika tidak,
sudah pasti kuasa besar Amerika sudah pun bertapak kukuh pada hari ini di
belakang pentadbiran Najib.
Bermakna, surat tersebut ada impikasi yang bahaya kepada
kedaulatan negara serta berupa satu bentuk pengkhianatan.
Sebagaimana yang diketahui umum, menjemput campurtangan
asing dalam mana-mana negara berdaulat adalah suatu kesalahan yang serius.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sendiri ketika ini
belum habis disiasat berhubung dakwaan pasukan kempennya mempunyai hubungan
dengan Russia.
Campurtangan itu didakwa berkaitan penglibatan Russia untuk
memastikan kemenangan Trump dan dalam waktu yang sama memburuk-buruknya
pencabarnya, Hillary Clinton dalam pilihanraya presiden yang lalu.
Siasatan kes itu bukan saja melibatkan FBI, tetapi juga
Kongres Amerika Syarikat.
Dalam konteks apa yang berlaku kepada Trump itu, ia
sebenarnya tidak jauh berbeza dengan surat yang dihantar oleh Bahagian
Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri kepada Pengarah CIA kira-kira lima hari
sebelum pengundian pada 9 Mei lalu.
Dalam hal ini, meskipun Najib menafikan beliau mengarahkan
surat itu ditulis, malah mendakwa tidak tahu dan terkejut dengannya, pihak
polis harus segera menyiasat Hasanah Ab. Hamid, selaku Ketua Pengarah, Bahagian
Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri yang menandatangani surat tersebut.
Kecuali jika Hasanah sedia dihukum penjara atau menerima
hukuman lain yang lebih berat kerana khianat kepada negara dengan mahu mengakui
surat itu ditulis atas usahanya sendiri tanpa diarahkan oleh sesiapa, pilihan
lain baginya tentulah berterus-terang mengenai kebenaran tentang surat
tersebut.
Jika beliau mendedahkan memang Najib yang mengarahkan surat
itu ditulis, maka bekas Perdana Menteri itu juga wajib berdepan satu lagi
pengadilan dan mungkin seterusnya dihukum dengan seberat-beratnya.
Persoalannya, bilakah pihak polis mahu menyiasat atau
membuka kertas siasatan terhadap Hasanah?
Adakah dalam hal ini, pihak polis perlu menunggu ada
mana-mana pihak membuat laporan polis terlebih dahulu sebelum siasatan dapat
dimulakan?
Jika demikian, kepada NGO-NGO yang bersepah-sepah kononnya
sayangkan negara ini, kenapa belum ada satu pun yang tampil membuat laporan
polis?
*Shahbudin Husin adalah penulis buku kritik politik
terkenal. Artikel pertama kali disiarkan di blognya adalah pendapat peribadi
beliau yang tidak semestinya mewakili pendirian kami.
Polis siasat surat CIA Amerika bila lagi?
Reviewed by Faceless
on
00:32
Rating:
No comments: