Foto: Kosmo
Merakam Sejarah PRU14 – Apa Jadi Malam Itu?
oleh Hishamuddin Rais
Rabu 9 Mei 2018 adalah hari anak semua bangsa turun mengundi
di Malaysia. Cuaca hari itu molek.
Dari awal pagi media sosial, blog dan portal seperti
Malaysiakini telah melaporkan bagaimana dari awal pagi orang ramai telah mula
beratur di tempat mengundi.
Sebenarnya suasana heboh mengundi telah rancak sebelum pagi
Rabu lagi. Semenjak hari Isnin, portal dan blog telah heboh dengan berita
lapangan terbang KLIA telah melimpah.
Ada yang hendak pulang ke Sabah dan Sarawak. Ada yang sampai
dari Hong Kong, Jepun, Korea, Australia dan entah dari mana lagi.
Air Asia telah dikatakan belot. Awalnya syarikat ini telah
memberi tiket ‘spesial’ untuk pulang mengundi. Air Asia juga akan
memperbanyakkan penerbangan pulang untuk warga dari luar.
Entah apa terjadi tetiba Air Asia menayangkan logo Najib dan
membatalkan beberapa penerbangan. Orang ramai kecewa. Mereka menyumpah dan
meludah muka Tony Fernandez.
Hanya pramugari Firefly yang terus dengan baju warna AMANAH.
Syukur.
Tambak Johor berasak
Ada berita melaporkan warga yang memburuh di Singapura tidak
putus-putus bertali-arus melintas sempadan untuk ke Johor dan pulang mengundi.
Tambak Johor berasak-asak.
Pemeriksaan pasport jadi lambat. Malah ada berita melaporkan
kemungkinan ini sengaja dilakukan untuk menafikan warga agar tidak sempat
pulang ke kampung masing-masing.
Warga Malaysia yang bekerja di luar negara dan pulang
mengundi wajib kita berikan ucapan tahniah. Kita angkat topi untuk mereka. Ini
satu tanggung jawab yang telah mereka tuntaskan.
Ini juga kejayaan BERSIH dan propaganda BERSIH. Setiap
demonstrasi – BERSIH 1.0 hingga Bersih 5.0 – telah menjadi berita dunia.
Keganasan jentera penindas kerajaan Najib yang mereka lihat
di kaca televisyen dari luar negara telah mempengaruhi mereka untuk pulang
mengundi.
Terima kasih juga kepada BERSIH Global. Amin.
Gambar warga beratur ke bilik mengundi semakin galak muncul.
FB dan media sosial menjadi penghantar berita spontan. Ertinya pesta mengundi
berjalan dengan lancar.
Petang sampai. Dari apa yang saya baca masih ramai yang
belum sempat masuk ke bilik undi. Saya menjadi risau kerana masih ramai yang
masih beratur.
Tetiba Pengerusi SPR membuat pengumuman jam 5 petang semua
bilik mengundi akan ditutup.
Saya sedar ini sebahagian daripada tugas SPR yang tidak
henti-henti menjalankan taktik untuk memastikan Najib terus berkuasa.
Saya risau warga yang beratur dan tidak dapat mengundi akan
naik minyak. Saya ingat lagi apa yang berlaku di Gombak pada PRU12.
Bakal pengundi marah kerana bilik mengundi telah ditutup
pada jam 5 petang. Huru-hara timbul.
Akhirnya masa mengundi dipanjangkan ke jam 8 malam.
Bilik mengundi tutup
Dalam PRU14 ini, Pengerusi SPR terbukti ‘orang suruhan’
Najib. Dia berdegil dan bilik mengundi akan ditutup tepat pada waktunya.
Daripada apa yang saya diberitahu proses mengundi pada
awalnya diperlambatkan.
Kini apabila melintasi jam 3 petang para petugas ejen
pengiraan dan ejen pusat mengundi(PACA) pilihan raya Pakatan Harapan bergegas
mempercepatkan proses mengundi. Amin
Mengundi hampir selesai. Saya menunggu arahan rasmi daripada
war room untuk mengumumkan dan menjemput orang ramai berkumpul di Padang Timur,
berhampiran Amcorp Mall.
Keputusan telah dibuat. Tapi saya mahu arahan rasmi.
Akhirnya lewat petang Mat Sabu telah membuat keputusan. Dengan pantas saya
mengiklankan seluas mungkin.
Timbul masalah. DAP enggan campur. DAP tidak akan beri
arahan kepada ahlinya untuk datang berhimpun.
Saya amat faham akan perangai DAP ini. Mereka berwaspada
kerana takut dituduh pencetus huru-hara.
Sebagai parti yang dimomokkan oleh gerombolan Ketuanan
Melayu sebagai parti Cina yang anti Melayu maka DAP sentiasa berhati-hati.
Untuk rakaman sejarah biar saya beritahu. Sesudah PRU13
dahulu Pakatan Rakyat telah juga menang tetapi ditipu.
Pakatan Rakyat mengadakan himpunan bantahan di Stadium
Kelana Jaya sesudah PRU 13. Dalam himpunan itu DAP dan pemimpian DAP tidak
hadir. Ini fakta sejarah.
Pada PRU14 kali ini dalam suasana enggan dan takut-takut
ini, saya telah diberitahu DAP akan meminjamkan lori treler untuk dijadikan
pentas ceramah. Parti ini juga akan menyediakan sistem pembesar suara dan skrin
besar. Terima kasih.
Para penyokong Pakatan Harapan ada yang bertanya kenapa war
room beralih ke hotel di Petaling Jaya.
Saya masih ingat lagi bagaimana pada hari Selasa pada jam 2
pagi, saya telah dipanggil untuk melihat pelan dan rajah war room yang akan
beroperasi dari dalam ruangan di bangunan Amcorp Mall.
Kenapa beralih? Rasionalnya di hotel akan ada teh dan kopi.
Selesa untuk makan dan berehat. Jika di Amcorp Mall kita wajib membawa masuk
makanan. Saya terima lojik ini. Khalas.
Hakikatnya di Kuala Lumpur pada malam Rabu 9 Mei 2018
Pakatan Harapan ada dua tempat berkumpul.
Pemimpin dan bakal wakil rakyat berkumpul di hotel itu yang
tidak jauh dari tempat orang ramai berkumpul di Padang Timur. Dua tempat ini
ada skrin besar untuk melihat keputusan undi.
Tetiba saya diberitahu ada satu lagi perhimpunan di
Putrajaya. Saya hairan lagi pelik. Ini kumpulan daripada parti mana? Daripada
kabilah siapa?
Kepala bana siapa yang mengepali himpunan ini? Saya yakin
dan pasti tidak ada arahan daripada war room Pakatan Harapan untuk berkumpul di
Putrajaya.
Malah daripada media sosial telah muncul gambar dawai
berkawat berduri telah dirintang di beberapa jalan di Putrajaya. Apa maknanya
ini? Ini projek siapa?
Malam sampai. Satu demi satu keputusan masuk. Setiap kali
keputusan dibacakan orang ramai akan bersorak. Ini berlaku di Padang Timur. Dan
ini juga berlaku dalam dewan khas di hotel itu. Semua bergembira. Semua
tersenyum.
Bacaan Mat Sabu tepat, sebelum jam 9 malam kita akan tahu
kalah menang. Daripada keputusan yang sampai semakin jelas United Malays National
Organisation (Umno) telah lungkup.
Penyokong Pakatan Harapan terseringai ketawa. Saya pula?
Saya gelabah memikirkan apa langkah yang akan diambil oleh Najib.
Di dewan hotel itu, pintu masuk dikawal. Hanya yang dipilih
sahaja boleh masuk. Tetapi ini pun menjadikan dewan penuh dengan wakil rakyat
yang baru menang, calon wakil rakyat yang menunggu menang dan juga penyokong
setia.
Media menunggu di bilik berasingan. Teh, kopi dan makanan
terhidang.
Senarai tangkapan, MKN
Pada kegembiraan para penyokong sebenarnya saya merasa
tegang. Berita senarai tangkapan timbul sekali lagi. Beberapa bisikan
kedengaran tentang hal senarai ini.
Ini diikuti pula oleh berita Najib sedang mengarahkan Majlis
Keselamatan Negara (MKN) untuk melakukan sesuatu.
Daripada mana punca berita ini wallahu alam. Tapi semuanya
sampai ke telinga saya. Saya menjadi gusar. Risau ada, gentar pun ada. Apa akan
berlaku?
Di Malaysia selama 60 tahun belum pernah terjadi peralihan
kuasa kerajaan. Semenjak Inggeris mengundur parti United Malays Ntional
Organisation (Umno) telah berkuasa.
Saya berjabat tangan dengan Datuk Kadir Jasin. Kali pertama
saya berjabat salam dengannya dalam satu program forum di JB tahun 2016.
‘Jalan keluar si Najib’
Bila bertemu Kadir kali pertama dia berkata, ‘… dia ni dulu
musuh saya..’ Sekarang kami sekapal dan boleh duduk semeja dan berbincang hal
politik negara. Dunia telah berubah. Lawan jadi kawan.
Lalu saya berkata kepada Kadir, “kita berilah si Najib ni
jalan keluar… jangan beri dia peluang … nanti dia buat kacau-kacau… satu bilion
itu kira halal dunia akhirat…” Ini cadangan saya untuk mengelak berlaku
bentrokan.
Saya menyuarakan cadangan dalam bentuk lawak. Orang Puteh
kata – touch and go. Saya ingin melihat apa reaksi sosok yang mendengar.
“Kami sudah beri dia peluang dulu… tapi dia reject…” Ini
jawapan Kadir yang kini ahli Majlis Tertinggi BERSATU. Saya kurang arif dalam
hal ini. Bila agaknya peluang Najib mengundur telah diberi.
Saya tuturkan perkara yang sama kepada Dr Zul (Zulkefly Ahmad)
daripada AMANAH yang baru diumum menang. Dia sedang dikelilingi oleh ‘geng
AMANAH’.
Dr Zul tidak menjawab. Dia hanya memandang muka saya.
Mungkin kegembiraan menang sedang melanda hingga tidak ambil pot apa yang saya
tuturkan.
Kemudian saya pergi bertemu dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Saya tuturkan perkara yang sama seperti apa yang saya katakan kepada Datuk
Kadir Jasin dan Dr Zul.
‘Tak boleh… tak boleh… Mana boleh bebas begitu saja… Najib
wajib dibawa ke mahkmah….’ Ini jawapan tegas daripada Muhyiddin.
Saya tidak meneruskan pertanyaan saya kepada yang lain. Saya
takut juga dianggap ‘lembik’ dan sedia berkompromi dengan orang jahat seperti
Najib.
Malam berlarutan dan melintasi jam 10. Keputusan semakin
jelas bahawa Pakatan Harapan telah menang. Satu demi satu kerusi bertambah.
Satu demi satu negeri milik BN jatuh untuk menjadi wiayah Pakatan Harapan.
Pengerusi SPR tidak muncul lagi di kaca televisyen. Ke mana
dia menghilang malam itu wallahu alam.
Saya difahamkan pada malam itu juga kerajaan Pakatan Harapan
akan ditubuhkan. Tidak boleh dilengahkan. Jika dilengahkan ini mengundang
bahaya.
Sila ingat kembali pilihan raya Negeri Sarawak pada 2011. Si
Taib Mahmud masuk angkat sumpah sebaik saja dia mendapat majoriti. Malam itu
juga Taib angkat sumpah hingga dia tidak sempat memakai stokin. Babak tak
sempat pakai stokin ini hingga sekarang menjadi babak lawak sejarah.
Malaysia negara dunia ketiga. Apa sahaja boleh dilakukan
oleh Najib. Lambat angkat sumpah akan mengundang bahaya.
Surat rasmi HARAPAN kepada Agong
Jam melintasi sebelas malam. Surat diketik. Ini surat rasmi
daripada Pejabat Majlis Presiden HARAPAN, bertarikh 10 Mei 2018. Surat ini
ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Surat itu ditandatangani oleh Dr Wan Azizah, Tan Sri
Muhyiddin Yassin, Tuan Haji Mohamad Sabu dan Saudara Tan Kok Wai.
Surat ini meminta Agong melantik Dr Mahathir menjadi Perdana
Menteri ke 7 Malaysia. Surat ini akan dibawa kepada Agong pada malam ini juga.
Delegasi ke Istana Negara sudah bersedia.
Pucuk pimpinan Pakatan harapan akan pergi ke Istana Negara
untuk penubuhan kerajaan baru dibawah Pakatan Harapan.
Delegasi meninggalkan hotel di Petaling Jaya menuju Istana
Negara.
Saya sempat mengambil satu salinan surat bersejarah ini.
Salinan surat yang ada pada saya tidak bertandatangan. Surat bersejarah ini
tersimpan dalam peti besi saya.
Apa terjadi di Istana Negara. Apa terjadi dengan surat
daripada kepimpinan Pakatan Harapan ini? Tunggu minggu hadapan.
*Hishamuddin Rais adalah aktivis politik. Tulisan pertama
kali disiar di kolum beliau di Malaysiakini adalah pendapat peribadi beliau
yang tidak semestinya mewakili pendirian Kami.
“Malam PRU14 beri dia jalan keluar, bilion kira halal dunia akhirat” – Hishamuddin Rais
Reviewed by Faceless
on
20:36
Rating:
No comments: