Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersalaman bersama
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa hadir
pada sambutan Hari Kebangsaan ke-61 2018 di Dataran Putrajaya. – Foto Sinar
Harian
oleh Shahbudin Husin
Setelah disahkan menang tanpa bertanding sebagai Presiden
PKR, Anwar Ibrahim kini melangkah setapak lagi untuk menuju cita-citanya
menjadi Perdana Menteri.
Beliau dijangka akan kembali menjadi Ahli Parlimen pada
Oktober ini.
“Saya sudah jelaskan perkara ini secara peribadi dan umum
yang saya akan kembali ke Parlimen, insya Allah jika menang pilihanraya kecil
sebelum hujung tahun ini…mungkin Oktober,” kata Anwar dalam temubual dengan
sebuah portal berita.
Meskipun beberapa Ahli Parlimen PKR dilaporkan sedia
menawarkan kerusi mereka untuk Anwar, tetapi beliau sehingga ini belum lagi
membuat keputusan kawasan mana yang akan dipilihnya.
Cuma yang pasti, beliau tidak akan bertanding di Pandan atau
Permatang Pauh kerana kedua-dua penyandang kerusi itu, Dr. Wan Azizah Wan
Ismail dan Nurul Izzah telah membuat kenyataan mereka tidak akan mengosongkan
kerusi masing-masing demi untuk memberi laluan kepada Anwar.
Di mana pun Anwar bakal bertanding, kecuali jika ada Ahli
Parlimen yang meninggal dunia, yang pasti satu pilihanraya kecil akan
berlangsung pada Oktober nanti.
Sementara itu, bukan menjadi rahsia lagi kerana sudah
menjadi perbualan ramai dalam PKR bahawa selepas menjadi Ahli Parlimen, Anwar
dikatakan akan segera menyertai kerajaan seawal Jun 2019.
Ia dilakukan dengan Dr. Wan Azizah diberitakan sudah sedia
untuk mengundur diri bagi memberi laluan kepada Anwar mengambil alih jawatan
Timbalan Perdana Menteri yang didudukinya sekarang.
Ini bermakna Dr. Wan Azizah hanya memegang jawatan nombor
dua dalam kerajaan selama setahun saja sejak mengangkat sumpah pada Mei lalu.
Dengan menjadi Timbalan Perdana Menteri semula, secara tidak
langsung Anwar akan bergandingan buat kali kedua dengan Tun Mahathir Mohamad
dalam mentadbir negara seperti ketika mereka bersama-sama dalam UMNO dahulu
sebelum hubungan itu berakhir pada 2 September 1998.
Kembalinya Anwar dalam kabinet juga dijangka akan
mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan pimpinan Tun Mahathir kerana majoriti
anggota kabinet yang ada sekarang adalah muka-muka baru yang tidak pernah ada
pengalaman dalam pentadbiran kerajaan.
Selepas menjadi Timbalan Perdana Menteri, berapa lamakah
tempoh seterusnya yang Anwar perlukan untuk jadi Perdana Menteri?
Apakah setahun selepas memegang jawatan Timbalan Perdana
Menteri, beliau akan diserahkan jawatan Perdana Menteri dan menepati apa yang
selalu disebut oleh Tun Mahathir bahawa beliau hanya mahu memegang jawatannya
sekarang selama dua tahun saja?
Atau mungkinkah Anwar akan jadi Perdana Menteri lebih awal
lagi daripada itu?
Bila? Januari 2020?
Anwar setapak lagi menuju cita-citanya menjadi Perdana Menteri, masuk Parlimen Oktober ini
Reviewed by Faceless
on
02:25
Rating:
No comments: