PEKAN – Pemasyhuran Tengku
Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Januari ini,
membuka laluan untuk baginda dinamakan sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA)
Ke-16.
Ketua Penyelidik Pejabat Naib Canselor Universiti Malaysia
Pahang (UMP) yang juga pengkaji institusi monarki, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd
Zain berkata, biarpun kekananan seorang Raja ditentukan berdasarkan tarikh
baginda menaiki takhta di negeri masing-masing, namun tidak mustahil bagi
Tengku Abdullah dipilih Majlis Raja-Raja sebagai YDPA yang baharu.
Loading...
Majlis pemasyhuran Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang
yang baharu akan berlangsung pada 15 Januari ini di Istana Abu Bakar,
Pekan.
Manakala, Majlis Khas Majlis Raja-Raja bagi tujuan memilih
YDPA ke-16 dan timbalannya akan diadakan pada 24 Januari ini di Istana Negara.
Bercakap kepada Bernama, Wan Nazrul Helmy berkata, perkara
itu berdasarkan kecenderungan majlis itu mengikut konvensyen penggiliran
senarai sembilan negeri beraja dan bukannya kekananan takhta dalam pemilihan
YDPA setelah pusingan pertama sistem itu berakhir pada 1994.
Turutan negeri dalam pusingan pertama sistem penggiliran ini
sejak 1957 ialah Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah,
Kelantan, Pahang, Johor dan Perak adalah berdasarkan kekananan takhta dan
Majlis Raja-Raja dilihat cenderung mengekalkan turutan itu dalam pusingan kedua
sistem penggiliran yang bermula dengan pemilihan Almarhum Tuanku Jaafar dari
Negeri Sembilan pada 1994.
Ia diikuti Almarhum Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah dari
Selangor pada 1999, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dari Perlis pada
2001, Sultan Mizan Zainal Abidin dari Terengganu pada 2006, Almarhum Sultan
Abdul Halim dari Kedah pada 2011 dan Sultan Muhammad V dari Kelantan pada 2016.
“Berdasarkan konvensyen turutan penggiliran yang sedia ada
itu, Tengku Abdullah boleh dipertimbangkan Majlis Raja-Raja untuk dipilih
menjadi Yang di-Pertuan Agong walaupun baginda baharu sahaja diisytiharkan
menaiki takhta sebagai Sultan Pahang keenam.
“Hal ini pernah berlaku semasa pemilihan Tuanku Syed
Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-13
pada 13 Disember 2001 walaupun baginda baharu naik takhta kerajaan Perlis pada
17 April 2000,” katanya.
Menyentuh ketokohan Tengku Abdullah, Wan Nazrul Helmy
berkata baginda merupakan waris ganti Raja pemerintah yang paling ‘senior’ di
Malaysia kerana telah menjadi Tengku Mahkota selama 44 tahun sejak 1975 ketika baginda
berusia 16 tahun.
“Pengalaman inilah yang membentuk sahsiah peribadi Tengku
Abdullah dan dilihat seorang pewaris yang amat berwibawa. Baginda banyak
mewarisi sifat ayahanda baginda yang rendah diri, prihatin dan dekat dengan
rakyat.
“Ini dapat disaksikan sendiri oleh rakyat apabila berlaku
musibah terutamanya banjir, baginda adalah antara orang yang terawal turun
padang mencemar duli bertanya khabar dan menghulur bantuan kepada mangsa
menyebabkan rakyat Pahang amat menyayangi baginda,” katanya.
Tengku Abdullah, 60, juga merupakan simbol perpaduan bagi
rakyat negeri Pahang dan ini dapat dilihat dalam titah ucapan baginda ketika
merasmikan majlis mahupun ketika menghadiri program bersama rakyat, baginda
sering menekankan tentang soal perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum di
negara ini.
“Dalam keadaan Malaysia Baharu ini, isu perpaduan dilihat
merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi dan dengan ketokohan yang ada pada
Tengku Abdullah ini, sekiranya baginda ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong
yang baharu, baginda mampu menjadi ikon semangat muhibah di negara ini.
“Ibarat mutiara mahkota yang bersinar, saya percaya Tengku
Abdullah mampu meneruskan legasi Sultan Ahmad Shah menjadi seorang pemimpin
yang berwibawa dan dekat dengan rakyat sesuai dengan ungkapan yang pegangan
keluarga diraja ini ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada,” katanya. – Bernama
Pemasyhuran Sultan Pahang buka laluan kepada Sultan Abdullah dinamakan sebagai Agong
Reviewed by Faceless
on
16:42
Rating:
No comments: